TEHERAN: Pihak berkuasa Iran melaksanakan hukuman mati secara terbuka pada Sabtu, terhadap seorang lelaki yang disabitkan kesalahan merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan.
Keluarga mangsa, yang berasal dari bandar Bukan di barat laut Iran, terlibat dalam proses perundingan dan meminta agar hukuman mati dilaksanakan secara terbuka, menurut laman web badan kehakiman, Mizan Online.
“Kes itu diberi perhatian khusus disebabkan kesannya yang mendalam terhadap emosi dan pendapat umum,” kata Ketua Hakim Wilayah, Naser Atabati.
Hukuman mati itu dijatuhkan pada Mac dan kemudian dikekalkan oleh mahkamah tertinggi Republik Islam Iran.
Hukuman tersebut dilaksanakan secara terbuka atas permintaan keluarga mangsa dan masyarakat setempat, disebabkan kesan emosi yang ditinggalkan oleh kes itu terhadap masyarakat, kata Atabati.
Hukuman mati secara terbuka, biasanya melalui hukuman gantung, bukanlah sesuatu yang luar biasa di Iran, tetapi lazimnya dilakukan dalam kes dianggap sangat berat.
Kesalahan membunuh dan merogol boleh dihukum mati di Iran, yang menurut kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International, merupakan negara kedua tertinggi di dunia dalam melaksanakan hukuman mati selepas China.- AFP