KOTA BHARU: Polis mengakui negeri ini menjadi transit kepada dadah jenis syabu, ganja dan heroin sebelum dihantar keluar Kelantan dan luar negara.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kesemua bahan terlarang itu dibawa masuk dari negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.
Menurutnya, rampasan terbaharu ganja pada minggu lalu dipercayai untuk dihantar ke luar negara berdasarkan kepada bukti barangan tersebut.
“Dadah jenis syabu, ganja dan heroin kurang mendapat sambutan dalam kalangan penagih di Kelantan, sebab itulah kita lihat banyak bahan terlarang itu dihantar ke sebelah Pantai Barat.
“Di Kelantan, pil kuda mendapat permintaan paling berbanding dadah jenis lain, berkemungkinan disebabkan harga murah dan senang diperoleh selain kesan khayal yang sama,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas perhimpunan bulan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, Polis Kelantan pihaknya sentiasa bertukar-tukar maklumat dengan agensi penguat kuasa negara jiran dalam membendung penyeludupan dadah.
Katanya, hasil pertemuan dengan Polis Thailand baru-baru ini mereka turut menyokong usaha Polis Kelantan membanteras pengedaran dadah.
“Mereka (Polis Thailand) memaklumkan Thailand turut menjadi transit dadah dan bekalan itu datang dari kawasan segi tiga emas di sempadan Thailand, Kemboja dan Myanmar,” ujarnya.-UTUSAN










