KUALA LUMPUR: Kedai FGV yang menawarkan 77 jenis produk makanan dan minuman tempatan antara tarikan yang terdapat di Karnival Usahawan Desa (KUD) bersempena Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D) yang berlangsung sehingga 3 Ogos ini.
Lebih menarik, reruai tersebut mengadakan jualan happy hour bagi produk terpilih bermula dari 12 tengah hari hingga 1 petang, sepanjang lima hari karnival itu.
Eksekutif Jualan FGV Holdings Bhd., Husna Sofea Salim berkata, pengunjung boleh mendapatkan beras wangi bersaiz lima kilogram dengan harga RM25 berbanding harga pasaran RM35.
Selain itu, katanya, pihaknya turut menawarkan diskaun harga sehingga 30 peratus makanan keperluan seperti minyak masak, sos cili, mi segera, bihun, susu segar, santan segar, gula, marjerin dan rempah ratus.
“Kami juga menyediakan set kombo barangan keperluan dari RM10 hingga RM30. Antaranya produk seperti gula dan mi segera keluaran FGV.
“Orang ramai boleh mengunjungi reruai Kedai FGV setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
MK3D 2025 merupakan acara berskala besar yang menggabungkan tiga program keusahawanan utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Hari Peneroka Felda dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Bertemakan ‘Desaku Mendunia’, lebih 1,000 usahawan menyertai karnival yang menjadi platform mempromosi dan medium bagi mewujudkan akses pasaran produk serta perkhidmatan usahawan luar bandar terus kepada pemborong, pengedar dan pembeli.
Husna Sofea berkata, Kedai FGV merupakan kedai dalam talian yang dikendalikan oleh FGV Holdings Bhd. serta menawarkan pelbagai produk keluaran FGV yang dijamin halal dan bermutu.-UTUSAN.