KUANTAN: Kemajuan pembinaan kapal Misi Pelbagai Guna Misi (MPMS) pertama milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bernilai RM295 juta sudah mencapai 17 peratus dalam tempoh 102 hari, sekali gus melepasi perancangan asal iaitu 15 peratus.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Rosli Abdullah, perolehan kapal yang diluluskan di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) itu sebelum ini menerima peruntukan asal berjumlah RM280 juta, namun ditambah RM50 juta lagi bagi memastikan kelengkapan dan keupayaan operasi kapal dapat memenuhi objektif pelbagai fungsi yang dirancang.
Katanya, harga akhir pembinaan kapal itu dimuktamadkan USD68.8 juta atau kira-kira RM294.8 juta selepas rundingan harga antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Maritim Malaysia dan syarikat pembinaan kapal, Desan Shipyard dari Turkiye.
“Pembinaan kapal dimulakan sebaik sahaja Surat Setuju Terima (SST) ditandatangani pada 21 Mac lalu, semasa lawatan rasmi delegasi KDN dan Maritim Malaysia ke limbungan Desan di Turkiye.
“Kontrak rasmi pula ditandatangani ketika Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2025) pada 20 Mei lalu,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Sekolah Angkat Madani Maritim Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rosli, sebagai simbolik permulaan pembinaan kapal, upacara ‘Steel Cutting Ceremony’ sudah diadakan pada 9 Julai lalu di Desan Shipyard dan disaksikan secara telesidang oleh pihak KDN dan Maritim Malaysia.
“Semua plat besi dan profil bagi projek MPMS sudah ditempah dan dihantar mengikut jadual, manakala bahan binaan diperakui oleh badan pensijilan Turki, Turkish Lloyd,” katanya.
Menurutnya, kapal MPMS ini dijangka menjadi aset strategik negara dalam memperkukuh pengoperasian Maritim Malaysia di perairan negara, selain dilengkapi keupayaan pelbagai guna termasuk operasi menyelamat, kawalan sempadan dan bantuan kemanusiaan. – UTUSAN