KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menggagalkan penyeludupan dadah jenis bunga ganja bernilai lebih RM10 juta selepas merampas barang terlarang itu dalam serbuan berasingan di Rantau Panjang, dekat sini 23 April lalu.
Kejayaan besar itu turut menyaksikan dua wanita dan seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan dadah tersebut.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 10.30 pagi itu Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang telah melakukan pemeriksaan ke atas tiga buah beg yang ditinggalkan di Pintu 1, Zon Bebas, Rantau Panjang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati beg tersebut mengandungi 88 paket plastik disyaki bunga ganja.
“Pada masa sama, kita turut merampas 32 paket bunga ganja selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah beg yang dibawa oleh seorang wanita semasa membonceng motosikal ketika melalui kawasan tersebut.
“Hasil siasatan yang dilakukan ke atas suspek pertama, satu lagi serbuan telah dijalankan pada pukul 11 pagi di Hentian Bas Express Rantau Panjang. Hasilnya, JKDM Kelantan merampas dua buah beg mengandungi 60 paket bunga ganja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, seorang lelaki dan perempuan turut ditahan bagi membantu siasatan dan berat keseluruhan bunga ganja yang dirampas itu sebanyak 102.178 kilogram.
Katanya, JKDM Kelantan tidak menolak kemungkinan bunga ganja itu dibawa masuk melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok.-UTUSAN