Jerman puji Anwar selesaikan konflik Thailand, Kemboja

Jerman puji Anwar selesaikan konflik Thailand, Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Canselor Jerman, Friedrich Merz memuji peranan aktif Malaysia sebagai pemudah cara dalam usaha penyelesaian konflik antara Thailand dan Kemboja.

Perkara itu dikongsikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menerima panggilan telefon daripada Merz, petang semalam.

Anwar berkata, ia merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan diplomasi serantau dan komitmen Malaysia dalam mendukung keamanan dan kestabilan ASEAN.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memperkukuh perpaduan dan kestabilan serantau melalui pendekatan diplomasi, dialog dan prinsip kemanusiaan.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Jerman yang kian kukuh serta menyatakan komitmen bersama untuk memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

“Kerjasama erat dengan rakan antarabangsa seperti Jerman amat penting dalam memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok serantau yang berwibawa, progresif dan berprinsip,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, semalam.

Amerika Syarikat (AS) turut menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Jabatan Negara AS menerusi kenyataan rasmi memaklumkan Presiden Donald Trump dan Setiausaha Negara, Marco Rubio komited terhadap penghentian segera segala bentuk keganasan di negara terlibat.

Jelasnya, AS menggesa kedua-dua kerajaan menunaikan komitmen yang telah dipersetujui bagi menamatkan konflik yang berlarutan.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepemimpinan beliau serta memainkan peranan penting sebagai tuan rumah rundingan gencatan senjata ini.

“Kami menggesa semua pihak agar terus melaksanakan segala perjanjian yang dicapai. AS akan kekal komited dan terus terlibat secara aktif dalam proses damai anjuran bersama Washington dan Kuala Lumpur itu,” katanya

Kelmarin, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat untuk berdamai dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN