Ini tanah air saya, negara saya - Tun M

Ini tanah air saya, negara saya – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun usianya kini mencecah hampir satu abad, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan berhenti daripada menyumbang tenaga dan buah fikiran demi bangsa dan tanah air.

Menurut Dr. Mahathir, rasa cintanya terhadap negara tidak pernah pudar biarpun terdapat suara-suara yang menyarankan agar beliau bersara dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada generasi muda.

“Saya sedar usia saya sudah lanjut. Namun, kasih saya kepada negara ini tidak pernah luntur. Saya dilahirkan di sini, membesar di sini dan melalui segala suka duka di sini.

“Ini tanah air saya. Ini negara saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Beliau berkata, sebagai orang Melayu yang hidup di tanah air sendiri, menjadi tanggungjawab untuk memastikan negara ini sentiasa dipelihara agar segala yang diwarisi tidak hilang begitu sahaja.

“Saya tidak pernah lupa kepada mereka yang tidak memiliki negara. Alangkah bertuahnya saya kerana mempunyai tanah air sendiri. Namun, negara ini perlu dijaga dengan baik. Jika tidak, akan hilanglah negara saya.

“Saya sedar saya sudah tua. Tetapi saya ingin bersama yang muda memelihara bangsa dan melindungi negara tercinta. Apabila saya tiada nanti, mereka inilah yang akan mengambil alih peranan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN