PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghormati proses pelantikan Ketua Hakim Negara kerana ia tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri menjelaskan, dalam tempoh dua setengah tahun ini, beliau tidak pernah mencampuri urusan keputusan mahkamah.
Beliau berkata, jika ada pihak yang mahu meminda proses pelantikan itu, boleh mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita (buat masa ini) ikutlah proses dan peruntukan undang-undang yang ada.
“Kalau rasa nak pinda, cadang pindaan Perlembagaan. Tapi bidang (pelantikan Ketua Hakim Negara) ini, kita ikut sahaja proses yang ada dan yang diamalkan selama ini,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, di sini semalam.
Beliau berkata demikian susulan rancangan Badan Peguam Malaysia mahu mengadakan perarakan aman pada 14 Julai ini dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menyerahkan memorandum penting yang menuntut tindakan segera bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, perarakan bertemakan ‘Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman’ itu adalah manifestasi kebimbangan semakin serius terhadap kekosongan jawatan utama kehakiman, kelewatan pelantikan serta dakwaan gangguan dalam urusan pelantikan dan keputusan kehakiman.
Anwar berkata, sebarang kekeliruan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara itu telah pun dijelaskan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Kelmarin, Azalina berkata, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Katanya, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-269 dijadual pada 15 hingga 17 Julai ini bagi membincangkan perkara berkenaan.
Mengenai Titah Adendum, Anwar berkata, kerajaan menghormati pandangan dilontarkan segelintir pihak yang mahu Titah Adendum terhadap Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan, namun ia masih perlu mengikut proses mahkamah.
“Itu urusan mahkamah sekarang, tak ada masalah. Pandangan masing-masing kita hormati tapi kena ikut proses,” katanya.
UMNO semalam memohon titah tahanan rumah ke atas Najib dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum berkenaan oleh Peguam Negara.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong Ke-16, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
AGC sebaliknya mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman kes Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UTUSAN










