HIV terendah, bukti Kelantan tolak gejala songsang

HIV terendah, bukti Kelantan tolak gejala songsang

MOHAMED Fadzli Hassan (tengah) ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu, Kelantan- UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jumlah kes jangkitan HIV rendah yang direkodkan oleh Kelantan berbanding negeri-negeri lain dengan hanya 93 kes pada tahun 2023 menangkis dakwaan serambi Mekah paling terjejas dengan perlakuan gejala songsang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, data dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan Selangor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 1,062 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (357 kes) dan Sabah (320 kes).

“Seterusnya, Pulau Pinang (256 kes) dan Sarawak 248 (kes). Fakta ini secara jelas menolak dakwaan liar yang cuba menggambarkan kononnya Kelantan merupakan negeri paling parah terjejas oleh gejala songsang.

“Berteraskan prinsip Membangun Bersama Islam, Kelantan mengambil tanggungjawab serius dalam melindungi masyarakat daripada kerosakan moral, diterjemahkan melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang telah digubal sebagai benteng perundangan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, dasar yang dibuat oleh Kerajaan Kelantan bukanlah untuk menghukum membuta tuli tetapi sebagai usaha memelihara kesejahteraan umum agar masyarakat tidak hanyut dengan ideologi songsang yang dibawa dari luar.

Katanya, sejak tiga dekad lalu, statistik pola jangkitan HIV di Malaysia telah menunjukkan perubahan.

“Pada 1990, 61 peratus kes berpunca daripada penggunaan dadah suntikan (IVDU), namun pada 2024, 64 peratus kes melibatkan hubungan sejenis, diikuti hubungan heteroseksual (32 peratus) dan IVDU hanya tinggal 3 peratus,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN