Hentikan pencabulan hak asasi di Gaza – Anwar

Hentikan pencabulan hak asasi di Gaza – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne, Perancis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza serta mendesak komuniti antarabangsa supaya tidak berdiam diri dalam isu keganasan serta pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di wilayah itu.

Perdana Menteri berkata, keadilan tidak boleh bersifat terpilih, sebaliknya nilai hak asasi dan maruah manusia perlu dipertahankan untuk semua tanpa mengira bangsa, agama atau geografi.

“Keganasan yang berterusan dan pencabulan hak asasi manusia tidak boleh ditanggapi dengan sikap berdiam diri.

“Keadilan tidak boleh bersifat terpilih. Nilai hak asasi dan maruah manusia harus dilindungi untuk semua,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne, Perancis yang bertajuk Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement.

Dalam syarahan tersebut, Anwar turut membangkitkan kebimbangan terhadap peningkatan Islamofobia di sesetengah negara Eropah yang bercanggah dengan nilai-nilai asas tamadun Eropah sendiri.

“Fraternité iaitu prinsip luhur dalam tamadun Perancis tidak seharusnya berhenti di sempadan identiti. Ia perlu diterjemah sebagai solidariti sejagat yang menjunjung maruah dan hak semua manusia,” ujarnya.

Mengulas mengenai hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah, Perdana Menteri menekankan keperluan untuk merombak semula bentuk hubungan dua hala agar lebih adil, setara dan saling menghormati serta tidak lagi dibayangi oleh warisan kolonial atau sikap dominasi kuasa.

Menurutnya, Asia Tenggara kini merupakan sebuah rantau yang dinamik, matang secara politik dan pesat berkembang dari segi ekonomi.

“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa berasaskan prinsip keamanan dan kedaulatan yang dihormati.

“Hubungan antara dua rantau ini harus dibina atas dasar kesaksamaan dan kepercayaan bersama, bukan berlandaskan dominasi atau warisan penjajahan yang lama membelenggu hubungan antarabangsa,” katanya.

Tambah Anwar, dalam dunia yang semakin terpolarisasi, dialog antara budaya, tamadun dan agama perlu terus diperkasa sebagai jalan ke arah perpaduan dan keamanan sejagat.

“Sejarah telah membuktikan bahawa peradaban Islam dan Barat pernah menjalin kerjasama yang membuahkan kemajuan bersama.

“Kini, tugas kita ialah membina semula jambatan kepercayaan itu dan menjadikan perdagangan, teknologi serta nilai kemanusiaan sebagai medium perpaduan, bukan perseteruan,” katanya.

Beliau berkata, meskipun Eropah dan Asia adalah dua dunia yang berbeza, perbezaan itu sepatutnya menjadi kekuatan untuk membentuk masa depan bersama yang lebih adil, inklusif dan bermaruah.

“Dengan tekad dan keberanian moral, kita mampu melangkaui batas lama dan membina dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang,” ujar beliau.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN