SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Selangor) (Pindaan) 2025 berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), hari ini.
Kelulusan pindaan tersebut dibuat apabila mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang melibatkan 10 fasal dibawah enakmen tersebut selepas ia dibacakan sebanyak tiga kali.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pindaan RUU tersebut merangkumi satu tafsiran baharu, dua peruntukan baharu, lima peruntukan pindaan dan satu peruntukan peralihan.
Menurutnya, berdasarkan Fasal 1, ia mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa enakmen yang dicadangkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui warta.
Beliau berkata, pindaan tersebut bertujuan menangani cabaran penyebaran fahaman bercanggah dengan ASWJ yang membawa konflik dan mencetuskan perpecahan umat, menjamin integriti institusi agama serta menjaga maslahat umum atau maqasid syariah.
“Sejak kebelakangan ini, kita menyaksikan kemunculan pelbagai aliran dan fahaman yang bertentangan dengan pegangan ASWJ yang menjadi tunjang kepada akidah umat Islam di negeri ini.
“Kewujudan fahaman seperti Syiah, Wahhabisme ekstremis, liberalisme dan alisme agama, serta pemikiran anti-autoriti dalam hal keagamaan, memberi kesan langsung kepada perpaduan umat dan keutuhan institusi agama.
“Kewujudan individu yang berpegang kepada fahaman sebegini dalam institusi agama akan menyebabkan percanggahan dalaman, konflik fatwa, serta ketidaktentuan dalam pentadbiran,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut.
RUU tersebut disambut baik seramai enam orang ADUN yang membahaskan pindaan tersebut iaitu iaitu Mariam Abdul Rashid (Meru), Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (Seri Serdang), Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Lembah Jaya) dan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (Kota Damansara) dari kerajaan negeri, manakala pembangkang adalah Mohd. Shafie Ngah (Sungai Ramal), dan Nushi Mahfodz (Semenyih).
Jelas Mohammad Fahmi, pindaan RUU itu menjadikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempunyai kuasa yang lebih tuntas menilai latar belakang calon untuk pelantikan ke dalam institusi agama Islam negeri.
“Ia juga mengurangkan risiko konflik dalaman institusi agama, pengukuhan kedudukan fatwa di peringkat negeri, peningkatan kepercayaan masyarakat.
“RUU itu tidak melibatkan penambahan peruntukan kewangan sedia ada. Ia juga sudah pun disemak oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor daripada sudut perundangan dan gubalan yang menyatakan ia teratur,” jelasnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri tidak boleh berkompromi dalam hal akidah dan dasar agama kerana ia turut memberi kesan kepada kestabilan sosial dan keselamatan negeri.
“Fahaman-fahaman yang bertentangan dengan ASWJ bukan sahaja menimbulkan polemik dalam masyarakat, malah berpotensi menjadi alat manipulasi oleh pihak berkepentingan baik di dalam mahupun di luar negara,” ujarnya. – UTUSAN