Didik penumpang pakai tali pinggang keledar sebelum saman

Didik penumpang pakai tali pinggang keledar sebelum kuat kuasa saman

AZDY MOHD ARSHAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pelaksanaan saman sebanyak RM300 terhadap penumpang bas ekspres yang tidak memakai tali pinggang keledar disifatkan sebagai langkah yang wajar daripada segi keselamatan.

Bagaimanapun, kerajaan di­saran memberi tempoh masa tertentu bagi tujuan pendidikan dan kesedaran sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan.

Pengerusi Keilmuan Nasio­nal Pulau Pinang, Azdy Mohd. Arshad berkata, tujuan utama dasar ini sepatutnya adalah untuk menyelamatkan nyawa, bukan menghukum atau menjana hasil melalui saman yang dikenakan kepada penumpang bas ekspres.

“Satu tempoh tertentu untuk mendidik dan menyedarkan pengguna perlu diperuntukkan sebelum kerajaan mengenakan saman terhadap mereka yang ingkar,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli dipetik sebagai berkata, semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa hari ini.

Katanya, mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300.

Mengulas lanjut, Azdy ber­kata, kesedaran keselamatan perlu ditanam dalam diri setiap pengguna perkhidmatan bas ekspres menerusi pendekatan pendidikan dan bukan sekadar ugutan saman.

“Langkah utama yang perlu dilaksanakan adalah meningkatkan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan penum­pang.

“Ini tanggungjawab bersama, bukan hanya pihak berkuasa, tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, malah syarikat pengendali bas sendiri,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Naib Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permin), Mohamed Rizwan Abdul Ghafor Khan yang berkata, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa mewajibkan pemakaian alat keselamatan itu tanpa mendidik penum­pang terlebih dahulu.

Menurutnya lagi, budaya pemakaian tali pinggang ke­ledar perlu dipupuk terlebih dahulu dalam kalangan pengguna kenderaan persendirian sebelum diterapkan kepada penumpang bas.

“Kalau dalam kereta pun belum ada kesedaran, bagaimana pula kita nak harapkan mereka mudah terima di dalam bas?” soal beliau.

Mohamed Rizwan turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan kos yang mungkin ditanggung oleh penumpang sekiranya pelaksanaan pemakaian tali pinggang itu melibatkan caj tambahan.

“Penumpang bas ni kebanyakannya adalah daripada golongan sederhana atau kurang mampu seperti pelajar, pekerja.

“Jika kadar saman sehingga RM300 seorang, itu sangat membebankan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×