Budaya ronggeng akan dihidupkan semula di Melaka

Budaya ronggeng akan dihidupkan semula di Melaka

AB. RAUF Yusoh bergambar bersama pemakalah dan peserta pada majlis penutup Program Bicara Seni Budaya Tahun 2025 di Dewan Perzim Muzium Rakyat, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Budaya ronggeng atau lebih dikenali joget lambak yang merupakan tarian tradisional dari era Kesultanan Melayu Melaka yang pernah menjadi popular dalam kalangan masyarakat di negeri ini akan dihidupkan semula dengan menampilkan wajah baharu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, budaya ronggeng dilihat boleh dibudayakan semula kerana seni tradisional itu mampu menjadi tarikan pengunjung dan pelancong untuk datang ke Melaka.

Menurutnya, tarian itu akan dibudayakan semula dengan diberi nafas baharu asalkan ia tidak melanggar hukum syarak.

Beliau berkata, dapatan daripada Program Bicara Seni Budaya Tahun 2025 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka serta Institut Tun Perak mendapati ada kewajaran budaya ronggeng perlu dihidupkan semula di negeri ini.

“Budaya ronggeng atau dulu dikenali sebagai joget lambak akan dibudayakan dan dihidupkan semula di negeri ini hasil daripada resolusi Program Bicara Seni Budaya Tahun 2025.

“Hasil dapatan daripada 11 orang pemakalah terkemuka dalam kalangan ilmuwan, cendekiawan, tokoh budaya serta seorang wakil khas dari Institut Seni di Indonesia merumuskan budaya ronggeng dapat terus hidup dan tidak hilang ditelan zaman.

“Apa yang penting bila budaya ini dihidupkan semula ia tidak melanggar hukum syarak. Kerajaan negeri akan melihat hasil daripada resolusi tersebut sebelum budaya ronggeng kembali dihidupkan semula,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Bicara Seni Budaya Tahun 2025 di Dewan Perzim Muzium Rakyat, Banda Hilir, di sini semalam.

Sementara itu Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias berkata, ronggeng tidak boleh dianggap sebagai budaya negatif dalam masyarakat sebelum ini walaupun tariannya adalah pergaulan yang sosial sifatnya antara lelaki dan wanita namun ia tidak bersentuhan.

Menurutnya, hasil dapatan daripada 11 orang pemakalah merumuskan tarian itu mempunyai beberapa rukunnya dan mungkin pemulihan semula budaya tersebut perlu diperhalusi bagi dilestarikan dengan budaya seni yang lain.

“Kita akan lihat usaha pelestarian bagaimana dan kita pernah pentaskan budaya ronggeng dalam program Bila Larut Malam yang mendapat sambutan hangat daripada pelancong di Statdhyus,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, usaha kerajaan negeri untuk menghidupkan kembali budaya ronggeng adalah langkah yang tepat bagi memperbanyakkan lagi budaya seni di negeri ini selain dondang sayang, pantun dan sebagainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN