Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 curi tumpuan di Miri

Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 curi tumpuan di Miri

PARA peserta bergambar sebelum memulakan kejohanan Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 di Kelab Golf Miri, Sarawak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penampilan sulung Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 di Malaysia Timur berlangsung dengan penuh bergaya apabila siri keempat kejohanan itu yang diadakan di Kelab Golf Miri mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi setakat ini.

Sebagai satu-satunya lokasi penganjuran di Borneo untuk musim ini, kejohanan tersebut menarik seramai 116 pemain bagi sesi petang dan tambahan 56 peserta dalam sesi pagi yang dibuka khusus bagi memenuhi permintaan yang luar biasa daripada pemain golf seluruh rantau Asia Tenggara.

Kejohanan berformat Stableford itu berlangsung sehari penuh di padang golf berlatarkan pemandangan pantai indah, menyajikan kombinasi cabaran dan keunikan yang tersendiri kepada para peserta.

Pemenang bagi kategori ‘gross’ dan ‘nett’ bergambar selepas majlis penyampaian hadiah.

Pengarah Urusan Prestige Golf Sdn. Bhd., Vasudevan Krishnan berkata, sambutan yang diterima amat membanggakan dan mencerminkan populariti kejohanan yang kini memasuki tahun kesembilan penganjurannya.

“Penyertaan di Miri ini benar-benar melebihi jangkaan. Kami amat berterima kasih atas sokongan padu daripada komuniti golf Malaysia Timur.

“Ucapan penghargaan khas juga kepada Pengarah Urusan LT Golf Shop, Lee Kah Ching yang memainkan peranan penting menjayakan kejohanan ini menerusi hubungan erat beliau bersama pemain tempatan,” katanya.

Menurut beliau, kejohanan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemain amatur beraksi di peringkat lebih tinggi, malah menggalakkan penglibatan komuniti dalam memajukan sukan golf di rantau ini.

Setiap peserta turut menerima beg cenderahati eksklusif Bridgestone bernilai lebih RM500 yang mengandungi pakaian kejohanan, sarung tangan, topi dan bola golf Bridgestone Extra Soft.

Acara menjadi lebih meriah dengan tawaran lima hadiah hole-in-one serta cabutan bertuah sebelum disusuli majlis penyampaian hadiah yang turut meraikan semua peserta.

Pada kejohanan itu, Yew Wen Jaan (Handicap 17) dinobatkan sebagai Juara Nett, manakala Hassan Bin Rahmat (Handicap 2) muncul sebagai Juara Gross, sekali gus mengharumkan nama Malaysia Timur di gelanggang sendiri.

Siri jelajah Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 akan diteruskan di beberapa lokasi selepas ini iaitu di Permaipura Golf & Country Club (Kedah, 3 Ogos), Ayer Keroh Country Club (Melaka, 6 September) dan The Els Club Desaru Coast (Johor, 13 September) sebelum menutup tirai di Grand Final di Templer Park Country Club, Selangor pada 31 Oktober. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN