TUMPAT: UMNO dan Kerajaan Perpaduan perlu membawa semangat kerjasama semasa meraih kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri lalu dalam usaha menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kelantan pada masa hadapan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kerjasama utuh itu perlu diteladani oleh semua termasuk saf kempimpinan parti di seluruh bahagian di negeri ini.
“Ketika itu UMNO dan seluruh jentera Kerajaan Perpaduan bergerak dengan satu tekad, iaitu merampas kembali kerusi berkenaan daripada Pas. Kemenangan itu (DUN Nenggiri) menunjukkan UMNO ada kekuatan tersendiri.
“PRK itu, seluruh pimpinan Kerajaan Madani turun membantu tanpa mengira masa. Kita tidak perlu berlawan satu sama lain, tetapi masing-masing buat kerja dengan satu tekad sehingga menang dengan majoriti luar jangka,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat yang disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Maktab Rendah Sains Mara di sini hari ini.
Ahmad Jazlan memberitahu, isyarat ini perlu disampaikan kepada seluruh saf kepimpinan UMNO di seluruh negara betapa perpaduan perlu dikekalkan.
Katanya, UMNO perlu sentiasa menjaga kesefahaman dan kerjasama antara semua parti komponen Kerajaan Perpaduan di samping memastikan kepentingan parti itu terus terjaga.
“UMNO ni ‘mudoh baso’ (senang diajak berunding) dan menjaga sahabat. Kami ‘reti bersaing’ (pandai berkawan). Cuma jaga UMNO baik-baik.
“Masa kita kalah dulu, kita mesyuarat bawah pokok. Sedih tak sedih (keadaan ketika itu). Apabila jadi sebahagian kerajaan, presiden kita jadi Timbalan Perdana Menteri, kita kembali bernafas dan selagi UMNO ada dalam kerajaan, kita akan jadi pagar serta pelindung kepada Melayu,” ujarnya.-UTUSAN
20725-Klt-TambahKerusi DUNKelantan