ISKANDAR PUTERI: Bangkai sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah minggu lalu berjaya dinaikkan semalam.
Pesawat jenis AS355N itu berjaya diapungkan kira-kira pukul 11 pagi dan kemudiannya dibawa naik di atas kapal kren 15 minit kemudian. Operasi menaikkan bangkai pesawat tersebut bermula pukul 8 pagi.
Operasi tersebut disertai pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (JKDNKA), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM),
Dalam insiden pukul 10.25 pagi Khamis minggu lalu, helikopter yang menyertai Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025) terhempas ke dalam Sungai Pulai.
Kejadian itu menyebabkan dua kru, Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R.G Devendran mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan kritikal.
Juruterbangnya, Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang, Superintenden Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin mengalami kecederaan.
Sementara itu, Devendran yang ditidurkan selepas terlibat dalam nahas helikopter itu sudah sedar petang kelmarin.
Abang mangsa, Navindran Raja Gopal, 39, memberitahu, adiknya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ubat tidur yang diberikan sebelum ini telah dihentikan.
“Doktor sudah hentikan ubat tidur, jadi dia sudah sedar sejak petang semalam. Waktu melawat nampak dia sudah boleh buka mata dan tengok sana sini.
Cuma dia belum boleh bercakap kerana tiub di mulut serta bantuan pernafasan semua masih ada lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Navindran berkata, ubat lain termasuk antibiotik masih perlu terus diberikan kepada adiknya itu.-UTUSAN.










