JELEBU: Buat pertama kali, sepasukan pegawai serta anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jelebu menerima panggilan awam menyelamat barangan iaitu sebuah telefon pintar berjenama iPhone.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Lt (PA) Mohd. Najib Abdul Karim berkata, pihaknya menerima panggilan itu kira-kira pukul 11.45 pagi pada 12 Julai lalu.
Menurutnya, panggilan dibuat oleh kakitangan Jabatan Perhutanan dan mangsa iaitu seorang wanita berusia 20-an memohon untuk mengambil telefon pintarnya yang jatuh di curam bukit.
“Sebaik tiba di lokasi iaitu Bukit Batu Sawa, pasukan APM melihat mangsa dan rakannya dan terus berjumpa dengan mangsa. Kemudian, salah seorang anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE).
“Anggota turut mempersiapkan peralatan untuk turun ke curam bukit untuk mengambil telefon bimbit. Seterusnya membuat harnes menggunakan tali dengan ikatan simpul kerusi dan turun menggunakan teknik normal repailing.
“Dianggarkan, kedalaman turun ke bawah kira-kira 10 meter dengan keadaan permukaan batu yang licin.
“Telefon pintar yang berjaya diambil telah dipulangkan kembali kepada mangsa dan operasi selesai kira-kira pukul 1.38 petang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Najib lagi, khidmat khas seperti itu baharu pertama kali diterima pasukannya dan kebiasaannya pihaknya menerima khidmat membantu mangsa kemalangan dan banjir.-UTUSAN.










