Aksi ‘wheely’ dua remaja undang padah - Utusan Malaysia

Aksi ‘wheely’ dua remaja undang padah

DUA pelajar sekolah menengah ditahan pihak polis kerana membuat aksi ‘wheely’ di Perumahan Makmur Sri Damai di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan pihak polis selepas dikesan melakukan aksi berbahaya ‘wheely’ atau mengangkat tayar hadapan motosikal dalam satu operasi khas di sekitar kawasan Perumahan Makmur Seri Damai Jaya di sini petang semalam.

Operasi antara pukul 4.30 petang hingga 9 malam itu melibatkan pegawai dan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, aksi yang dilakukan kedua-dua pelajar sekolah menengah terbabit bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri, malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Suspek ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuantan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, sepanjang operasi itu juga, 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, dengan kesalahan tidak memakai topi keledar menjadi kesalahan paling banyak direkodkan.

Beliau menegaskan operasi seperti ini akan diteruskan daripada masa ke semasa bagi membanteras kegiatan samseng jalanan, terutama melibatkan golongan remaja.

“Polis menyeru ibu bapa dan penjaga agar memainkan peranan lebih proaktif dalam memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan tidak bermoral dan membahayakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN