Aksi ‘derby’ utara jadi tumpuan - Utusan Malaysia

Aksi ‘derby’ utara jadi tumpuan

Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim (kiri) dan Amar Rohidan (kanan) memberi semangat kepada para pemain selepas sesi latihan di Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Aksi ‘derby’ Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) menentang Kedah FA yang akan membuka tirai saingan Liga A1 Semi Pro di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, pada Sabtu ini bakal menjadi tumpuan.

Perlawanan pembukaan itu juga cukup dinanti-nantikan oleh penyokong bola sepak Perlis yang sejak sekian lama merindui untuk kembali memenuhi gelanggang keramat Singa Utara itu.

GSA FC selaku wakil dari negeri ini yang hadir dengan reputasi juara Liga A2 musim lalu melontarkan laungan awal untuk menjadi pencabar merebut kejuaraan tersebut.

Meskipun dibarisi pemain muda dalam kalangan anak tempatan negeri ini dan tidak menggunakan import, namun pasukan GSA FC memberi jaminan akan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan bagi menaikkan kembali bola sepak Perlis seperti satu ketika dahulu.

Pengurus pasukan Perlis GSA FC, Amar Rohidan berkata, para pemain sudah melakukan persediaan dan mempunyai motivasi yang cukup kuat menjelang aksi dengan Kedah.

Katanya, GSA FC akan diperkuatkan dengan majoriti pemain sedia ada serta beberapa penambahbaikkan terutamanya penyertaan pemain bakat baharu berusia 22 tahun.

Ujarnya, semua pemain adalah anak jati negeri yang akan menggalas cabaran selaku wakil tunggal Perlis dalam pentas Liga A1 tersebut.

“Kita telah melakukan persiapan awal termasuk mengadakan perlawanan persahabatan untuk menilai kemampuan pasukan. Saya lihat keserasian pemain semakin baik.

“Untuk musim pertama Liga A1 ini, saya jangka saingan sengit terutamanya dengan adanya beberapa pasukan yang pernah beraksi di Liga Super,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah bekas pemain kebangsaan itu, aksi Perlis dan Kedah ibarat pertemuan ‘adik’ dan ‘abang’ dengan pemain menjanjikan akan memberikan persembahan terbaik.

“Kalau boleh, setiap perlawanan kita mahu menang dan kita akan cuba sehabis baik.

“Motivasi para pemain ketika ini juga berada pada tahap terbaik dan dalam masa sama, kita berharap penyokong dapat memenuhi stadium bagi memberikan sokongan kepada kami.

“Perlawanan nanti juga bakal menjadi peluang kepada para pemain untuk menimba pengalaman beraksi dalam saingan kompetitif dan diharapkan segala perancangan pasukan berjalan lancar,” kata bekas pemain Perlis, Kedah, Felda United FC dan Kelantan itu.

Sementara itu, Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim menuntut para pemain memberi aksi terbaik menentang Kedah sekali gus membawa pulang tiga mata berharga sebagai pembakar semangat menjelang aksi seterusnya.

“Para pemain dilihat cukup bersemangat menjelang aksi pembukaan ini dan kita berharap Perlis berjaya mencapai kemenangan.

“Para penyokong juga diminta bersama memberi sokongan dengan memenuhi stadium pada Sabtu ini dan menjadi permulaan kepada kebangkitan bola sepak Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN