KANGAR: Selepas empat perlawanan Liga A1 Semi Pro, Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) ‘menjuarai’ jumlah kehadiran penonton tertinggi ke stadium sekali gus menjadi antara penyumbang kepada kemeriahan liga tersebut.
Kehadiran tertinggi penyokong ke stadium dalam saingan Liga A1 Semi Pro setakat ini, ialah ketika aksi Singa Utara menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada 15 September lalu yang merekodkan kehadiran sebanyak 4,799 penyokong di Stadium Tuanku Syed Putra di sini.
Jumlah kehadiran kedua tertinggi penyokong ke stadium juga melibatkan aksi Singa Utara iaitu ketika menentang Kedah di Stadium Tuanku Syed Putra pada 2 Ogos lalu dengan merekodkan kehadiran seramai 4,168 penyokong.
Jumlah kehadiran hampir 5,000 penyokong bagi setiap perlawanan tersebut adalah mengikut kiraan jumlah tiket terjual, namun jika mengambil kira keseluruhan ia melebihi 8,000 penyokong termasuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan orang kurang upaya (OKU) yang masuk percuma.
Bola sepak Perlis kembali hidup dengan kemunculan semula pasukan dari negeri ini yang menghiasi saingan Liga Malaysia selepas sekian lama Singa Utara menyepi. Perlis bukanlah asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika era 1990-an sehingga 2010 cukup disegani lawan selain pernah dianggap ‘giant killer’ yang memusnahkan pasukan besar.
Dalam era kegemilangan tersebut, Perlis juga pernah merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat lain di negara ini.
Sementara itu, Presiden Perlis GSA, Izizam Ibrahim berharap rakyat di negeri ini terus memberi sokongan kepada Perlis meskipun selepas ini terpaksa beraksi di gelanggang lain buat sementara waktu bagi memberi laluan proses baik pulih Stadium Tuanku Syed Putra.
“Selepas ini, lima ke keenam perlawanan Perlis selaku tuan rumah akan beraksi di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dan akan kembali semula ke Stadium Tuanku Syed Putra pada pertengahan Januari depan.
“Kehadiran penyokong yang ramai ini adalah disebabkan penyokong cukup merindui untuk menyaksikan aksi Perlis di stadium. Di zaman kegemilangan dahulu, setiap kali aksi Singa Utara di gelanggang keramat dipenuhi penyokong,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN








