PADANG BESAR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sepatutnya mengenepikan ego dengan tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan kenyataan kontroversi yang dimuat naik di media sosial Facebooknya baru-baru ini
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, keengganan Ketua Penerangan Pas itu berbuat demikian dianggap sebagai hipokrit.
Katanya, sebagai seorang Ahli Parlimen di negara ini, Ahmad Fadhli tidak sewajarnya mempersendakan usaha dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendamaikan dua negara yang sedang bergolak.
“Dia (Ahmad Fadhli) kena faham Perdana Menteri adalah Pengerusi ASEAN dan sudah menjadi tugas beliau bagi mendamaikan konflik yang berlaku antara Thailand dan Kemboja.
“Malah, tidak sepatutnya seorang Ahli Parlimen mempersendakan usaha damai ini kerana ia menunjukkan pemikiran tidak sihat dalam kalangan pembangkang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Baru-baru ini, Ahmad Fadhli dalam Facebook miliknya didakwa memuat naik hantaran berkaitan konflik Thailand-Kemboja dengan menyatakan ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’.
Hantaran yang turut didakwa mengandungi lukisan ketiga-tiga haiwan itu dan tangkap layar akhbar Bangkok Post berkaitan peperangan itu kemudian dipercayai dipadam Ahmad Fadhli setelah menerima kecaman pelbagai pihak.
Ruzaini berkata, Ahmad Fadhli sepatutnya menyokong usaha murni Perdana Menteri biar pun berbeza fahaman politik.
“Ini adalah sikap negatif pembangkang yang sentiasa cuba menafikan semua perkara baik dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan mereka seharusnya menjadi pemimpin bermutu serta berkaliber,” katanya.-UTUSAN