JOHOR BAHRU: “Allahyarhamah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu walaupun ketika sibuk dengan kerjaya sebagai penyanyi.”
Demikian menurut Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60, tentang isterinya yang juga penyanyi era 1901-an Zaleha Hamid, 68, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin selepas terlantar akibat serangan angin ahmar sejak 2019.
Menurutnya, sepanjang lebih 40 tahun menjadi suami isteri, kehidupan mereka dipenuhi dengan kasih sayang dan jarang bergaduh.
“Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, tanggungjawab dia sebagai isteri dan ibu tidak pernah diabaikan.
“Daripada urusan rumah, jaga makan pakai sehinggalah hal anak-anak semua dia buat sendiri, tak pernah guna khidmat orang gaji,” katanya ditemui di Masjid Al Asma’ul Husna, Tampoi di sini.
Jenazah Zaleha atau nama penuhnya Siti Zaleha Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, selepas solat Jumaat.
Allahyarhamah meninggalkan suami dan tiga anak, iaitu Zalisham Samsudin, 48; Ungku Chik Zafierul Azman, 37, dan Ungku Nor Muhammad Danial, 28, serta enam cucu.
Ungku Sulaiman berkata, dia reda dengan pemergian isterinya itu kerana dia sentiasa bersilih ganti menjaga Allahyarhamah sepanjang tempoh terlantar.
“Saya syukur Allah ambilnya dengan cara lembut. Biarlah dia berehat di negeri abadi di sisi Allah, lagipun dia sudah lama menderita sakit dan hanya terbaring di katil.
“Ketika tahap oksigen semakin lemah, saya sempat bisikan kalimah syahadah ke telinganya. Pada bacaan ketiga, dia sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud menganggap arwah Zaleha sebagai antara penyanyi terhebat bagi aliran muzik dangdut pada era 80-an.
Walaupun Search dan Zaleha, masing-masing meningkat naik pada era itu, namun mereka jarang berkongsi pentas kerana membawa genre muzik yang berbeza.
“Beberapa bulan lalu, saya bersama isteri ada melawat arwah di rumahnya setelah mendapat tahu dia sakit dan arwah masih kenal saya, malah bertanya khabar mengenai Amy dan Hillary serta anggota kumpulan yang lain.
“Bagi pihak keluarga dan keluarga Search, saya rakamkan perasaan sedih dan takziah kepada seluruh keluarga arwah,” katanya.-UTUSAN.










