Unimap terima anugerah MNC - Utusan Malaysia

Unimap terima anugerah MNC

GIMIK pelancaran GENIUS yang disempurnakan Naib Canselor Unimap sempena Karnival Kerjaya NICE 2025 baru-baru ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menerima anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional (MNC) tertinggi menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2024 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pengiktirafan tersebut mengesahkan keyakinan tinggi syarikat multinasional terhadap kualiti dan kebolehpasaran graduan Unimap sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan universiti berkenaan dalam menjalin sinergi erat antara dunia akademik dan industri.

Kejayaan tersebut turut diserlahkan dalam penganjuran Northern Industrial Career Engagement (NICE) 2025 yang menjadi sebahagian daripada program iFUTURE@Unimap yang dirasmikan oleh Naib Canselor, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli baru-baru ini.

Lebih 50 syarikat tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian sekali gus menjadikan edisi tahun ini antara yang paling signifikan sejak diperkenalkan.

Dalam usaha memperkukuh lagi kedudukan sebagai universiti pilihan industri, Unimap turut melancarkan inisiatif strategik terbaharu dikenali sebagai GENIUS: Graduate Employability Network Industry & Unimap Synergy.

Inisiatif tersebut dirangka khusus untuk mempercepatkan usaha peningkatan kebolehpasaran graduan menerusi kerjasama holistik antara universiti dan pemain industri utama.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, GENIUS merupakan satu anjakan paradigma dalam memperkukuh hubungan dua hala iaitu industri-akademia menerusi penyesuaian kurikulum yang responsif terhadap kehendak pasaran kerja, penyediaan latihan industri berfasa serta pembangunan kemahiran insaniah dan teknikal secara menyeluruh.
“GENIUS membolehkan pihak industri menilai potensi pelajar seawal tahun pertama dan melibatkan mereka secara berperingkat dalam latihan praktikal sepanjang tempoh pengajian.

“Malah, sesi libat urus tahunan bersama rakan industri akan dilaksanakan bagi menyelaras kurikulum dan memastikan ia relevan dengan keperluan serta kemahiran semasa.

“Berbanding pendekatan konvensional, GENIUS menekankan pendekatan ‘upskilling’ berterusan sepanjang tempoh pengajian bagi memastikan pelajar bukan sahaja bersedia memasuki pasaran kerja, malah kekal kompetitif dan relevan dalam era ekonomi digital dan globalisasi,” katanya.

Katanya lagi, antara nilai tambah yang ditawarkan menerusi platform GENIUS termasuk akses awal industri kepada pelajar berbakat, laluan latihan industri bertahap bermula dari tahun satu hingga tahun akhir dan penilaian prestasi pelajar sejak awal pengajian.

“Selain itu, akses eksklusif kepada resume pelajar enam bulan sebelum tamat pengajian, peluang kolaborasi dalam projek penyelidikan, inovasi dan integrasi tahun akhir. Pelancaran GENIUS sempena program iFUTURE ini mencerminkan komitmen Unimap untuk terus memperkasa graduan dan mempercepatkan transformasi pendidikan tinggi negara agar lebih bersifat future-ready dan industri-sentris.

“Dengan jalinan erat bersama industri, Unimap yakin inisiatif ini akan terus melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat global, tetapi turut menjadi pemangkin kepada kemajuanekonomi negara secara mampan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN