UMNO Perlis makin kukuh, yakin kembali rampas Perlis dalam PRU16 - Utusan Malaysia

UMNO Perlis makin kukuh, yakin kembali rampas Perlis dalam PRU16

ROZABIL Abd Rahman (tengah) bergambar bersama barisan Pemuda UMNO Arau selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang merampas semula negeri ini sekali gus memberi cabaran kompetetif kepada Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusinya, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, parti itu diyakini tidak akan kembali hilang arah seperti mana sebelum ini susulan daripada ketiadaan kepimpinan di negeri ini semasa menghadapi pilihan raya umum lalu.

Katanya, kepimpinan baharu parti itu di ketiga-tiga bahagian juga dilihat bergerak cukup agresif dan diyakini dapat mengembalikan semula sokongan rakyat kepada UMNO.

“UMNO semestinya meletakkan keyakinan tinggi untuk mengembalikan sokongan rakyat malah kita lihat, ahli-ahli parti yang berpaling tadah sebelum ini juga telah kembali semula menyatakan sokongan kepada parti.

“Dengan segala cadangan dan strategi, kita percaya UMNO mempunyai peluang cerah memberi cabaran buat PN dan merampas kembali negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan UMNO untuk merampas semula kepimpinan kerajaan negeri daripada PN.

Beliau berkata, UMNO negeri juga telah mengatur strategi tersendiri dalam menghadapi PRU16 dan akan digerakkan pada waktu bersesuaian bagi memastikan kemenangan.

“Saya sudah maklumkan pada ketiga-tiga bahagian sebelum ini yang mana UMNO sudah sedia strategi untuk hadapi PRU16 dan kita bukan senyap membisu namun mempunyai perancangan tersendiri untuk bergerak apabila tiba waktunya,” katanya.

Tambahnya, beliau turut berpuas hati dengan dua persidangan sayap parti itu di Padang Besar dan Arau yang berlangsung sebelum ini dengan jumlah kehadiran amat memberangsangkan.

“Kehadiran ini mempamerkan kesungguhan serta semangat luar biasa perwakilan yang membuak-buak dalam persediaan menghadapi PRU16 nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN