Trak pikap hilang kawalan satu maut, 13 cedera di Machang

Trak pikap hilang kawalan korban satu nyawa, 13 cedera di Machang

KEADAAN lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki dan 13 cedera di Kilometer 9.4, Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Kampung Banggol Judah, Machang, Kelantan-IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Kemalangan maut di Kilometer 9.4, Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Kampung Banggol Judah di sini malam tadi yang mengorbankan nyawa seorang lelaki dan 13 lagi cedera dipercayai berpunca daripada sebuah trak pikap hilang kawalan lalu terbabas sebelum bertembung dengan dua buah kereta di laluan bertentangan.

Dalam kejadian pukul 11.45 malam itu, mangsa, Zulkifli Salleh, 54, yang memandu kereta jenis Proton Waja maut di lokasi akibat kecederaan parah selepas dipercayai tersepit.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian trak pikap jenis Chevrolet Colorado yang dinaiki lima individu dalam perjalanan dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh.

“Pada masa sama, kereta Proton Waja dinaiki mangsa bersama lima penumpang sedang dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh ke Machang. Setiba di lokasi kejadian, trak pikap itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan kenderaan tersebut bertembung dengan kereta mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki tiga individu. Pemandu kereta Proton Waja disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala 13 lagi mangsa daripada tiga buah kenderaan mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ahmad Shafiki memberitahu, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Machang di sini untuk tindakan lanjut.

Katanya, 13 mangsa yang cedera masing-masing dihantar ke hospital Machang serta Hospital Tanah Merah dekat sini untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, hasrat dua sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Machang-Pasir Puteh, dekat Kampung Banggol Judah di sini, malam tadi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN