Teater Rubiah sebuah nasihat dari pentas

Teater Rubiah sebuah nasihat dari pentas

TEATER Muzikal Rubiah dijayakan oleh Didi Astilah sebagai Rubiah dan Nor Khiriah yang membawa watak Mak Alang. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selain kisah yang tidak luput dek zaman, pengajaran dalam legenda Rubiah amat bertepatan sehingga hari ini apabila mendedahkan tentang adat serta hukum-hukum dalam Islam.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Radzi Omar berkata, meskipun legenda Rubiah adalah kisah zaman berzaman, ia masih memiliki nilai adat, budaya dan Islam yang perlu didedahkan sehingga hari ini.

MOHD. RADZI OMAR

Menurutnya, modenisasi dan dunia digital tidak mengubah nilai dan prinsip terutama berkaitan dengan hukum-hukum dalam Islam, malah ia wajib diamalkan seperti batasan hubungan lelaki dan wanita yang bukan mahram.

“Dari segi hukum kekal, di mana-mana pun ia tidak boleh dilanggar. Kalau di dunia kita melanggar adatlah, tetapi hukum (dalam Islam) bila langgar, berdosa. Jadi, nilai itu sebenarnya yang ditekankan dalam pengisahan Rubiah.

“Selain itu, kisah Rubiah terkenal di negeri ini khususnya di Selangor, ia penuh dengan budaya Melayu yang tinggi selain nilai-nilai kehidupan zaman dulu penuh adab dan adat. Itu yang generasi muda kena tahu supaya berpegang kepada prinsip itu,” katanya ketika ditemui selepas Pementasan Teater Muzikal Rubiah, malam semalam.

Teater Muzikal Rubiah yang ditayangkan selama tiga hari sejak 28 Jun di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu merupakan kerjasama antara Fakulti Teater, Filem dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan JKKN menerusi program Siri Karya Teater.

AMINAH RHAPOR

Ia dijayakan oleh mahasiswa UiTM dan anak seni JKKN sendiri selain dibintangi pelakon terkenal, Didi Astilah dan Nor Khiriah sebagai pemegang watak utama iaitu Rubiah dan Mak Alang.

Sementara itu, Pengarah Teater Muzikal Rubiah, Prof. Madya Dr. Aminah Rhapor memberitahu, beliau tidak menyangka Rubiah sebagai sebuah naskhah yang berat mampu digalas oleh siswa dan siswinya terutama di peringkat diploma.

“Ia naskhah yang berat untuk mahasiswa muda berusia 19 tahun dan dalam masa sama merupakan cabaran juga untuk saya sendiri kerana ia adalah karya agung JKKN dan bersyukur mereka sudi bekerjasama dengan UiTM untuk pementasan tersebut.

“Kita pilih Rubiah sebagai budaya yang rapat dengan kita kerana ada budaya Melayu hingga ke Mandailing atau Bugis melibatkan (keturunan) Daeng, semua itu sebahagian daripada Melayu. Malah, lagu-lagunya pun kita pilih yang tradisional,” ujarnya.

Tambahnya, beliau tidak menjangka walaupun Rubiah pernah dipentaskan beberapa kali di Istana Budaya di bawah arahan Datuk Ahmad Tarmimi Saregar, ia tetap mendapat sambutan khususnya dalam kalangan orang muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN