SIS Forum: Fatwa hanya terpakai pada individu, bukan pertubuhan

SIS Forum: Fatwa hanya terpakai pada individu, bukan pertubuhan

PEGUAM SIS diwakili Datuk Malik Imtiaz Sarwar ketika sidang akhbar berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan SIS Forum (Malaysia) itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengatakan SIS Forum sesat tidak lagi terpakai kepada pertubuhan itu.

Bagaimanapun, fatwa tersebut masih lagi sah dan terpakai kepada mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut.

“Kami mendapati perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ (‘persons professing the religion of Islam’) yang digunapakai hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan atau tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat.

“(Bagaimanapun) Mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengan fatwa tersebut,” kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membaca penghakiman majoriti panel terbabit sebelum membenarkan rayuan SIS Forum.

Penghakiman majoriti itu turut disokong oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan. Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais menentang keputusan tersebut.

Dengan keputusan majoriti tersebut, keputusan Mahkamah Tinggi yang turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan berhubung fatwa mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng ajaran Islam sebenar yang dikeluarkan dan diwartakan 11 tahun lalu, diketepikan.

Terdahulu, Hakim Tengku Maimun menjelaskan bahawa pertikaian yang dikemukakan di hadapan mereka ialah berkenaan tafsiran ‘persons professing the religion of Islam’ sebagaimana yang dinyatakan dalam Butiran 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Supaya kami tidak disalah faham, kami mengulangi bahawa kami tidak membuat apa-apa komen mahupun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa tersebut khususnya terhadap frasanya yang berbunyi: ‘… fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’ dan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam’ kerana ini adalah perkara dalam bidangkuasa ekslusif responden-responden,”katanya.

Responden-responden terdiri daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor.

Rayuan SIS Forum itu sebelum ini didengar oleh panel tersebut bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil (panel lima hakim). Bagaimanapun, penghakiman itu dibuat dengan majoriti 3:1 memandang Hakim Datuk Abdul Karim telah bersara pada April lalu.

Sehubungan itu, penghakiman hari ini dibuat selaras dengan Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan bahawa prosiding boleh diteruskan dan penghakiman boleh disampaikan walaupun hanya terdapat dua orang hakim yang tinggal dalam sesuatu panel, dengan syarat keputusan mereka adalah sebulat suara. Jika dua hakim yang tinggal itu berbeza pendapat, maka prosiding tersebut mesti didengar semula.

Sementara itu, Hakim Abu Bakar dalam penghakiman menentangnya menyatakan, walaupun terdapat isu-isu lain yang mencabar pengeluaran fatwa tersebut namun intipati atau perkara pokok masih lagi tertumpu kepada fatwa itu sendiri.

Isu-isu lain ialah seperti dakwaan bahawa fatwa tersebut tidak seharusnya terpakai ke atas sebuah syarikat dan dakwaan JAwatankuasa Fatwa melebihi bidang kuasa dengan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan fatwa tersebut.

“Mengenai isu ini, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa fokus mahkamah ini (Mahkamah Persekutuan) tidak seharusnya dihadkan dengan dakwaan bahawa perayu pertama (SIS Forum) adalah sebuah syarikat maka ia tidak boleh tertakluk kepada fatwa.

“Ini tidak wajar dilakukan kerana seseorang perlu mempunyai visi dan ketajaman untuk bertanya siapakah individu-individu di sebalik syarikat ini. Nama syarikat itu sendiri, SIS Forum (Malaysia) atau “Sisters in Islam”, dengan jelas mencerminkan identitinya. Adakah itu tidak cukup jelas?

“Amat membimbangkan sekiranya perayu pertama (SIS Forum) boleh terlepas dan tidak tertakluk kepada fatwa hanya kerana ia merupakan sebuah syarikat tetapi dalam masa yang sama berani membuat kenyataan dan menyuarakan pandangan yang menyentuh prinsip serta ajaran Islam.

“Mahkamah Tinggi tidak silap apabila mendapati bahawa sejak penubuhannya, SIS Forum telah mengemukakan dan mengeluarkan kenyataan yang melibatkan perkara berkaitan agama Islam,”ujar hakim itu.

Pada Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor mewartakan fatwa terhadap SIS Forum dengan menyatakan kumpulan itu mengamalkan ideologi liberalisme dan pluralisme yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun, pada Oktober tahun sama, pengasas SIS Forum, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan mencabar keputusan jawatankuasa fatwa tersebut.

Namun, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan masing-masing pada Ogos 2020 dan Mac 2023 menolak permohonan semakan kehakiman dan rayuan mereka untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat kerana mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa berkaitan hukum syarak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×