TUMPAT: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah premis dan merampas cecair serta peranti rokok elektronik atau vape di Wakaf Bharu bernilai RM200,000 dekat sini semalam.
Dalam serbuan pukul 3.30 petang itu, PGA turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bagi membantu siasatan berkaitan rampasan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, serbuan bersama pegawai Majlis Daerah Tumpat (MDT) itu telah menjumpai 974 unit cecair.
“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai 777 peranti vape di dalam premis berkenaan.
“Kesemua rampasan diserahkan kepada Majlis Daerah Tumpat (MDT) untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDT 2019.-UTUSAN