WASHINGTON: Serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran gagal memusnahkan sepenuhnya keupayaan negara itu dan hanya melambatkan kemajuan program nuklearnya selama beberapa bulan, menurut penilaian awal risikan oleh agensi perisikan ketenteraan Amerika, Agensi Risikan Pertahanan (DIA).
Laporan yang diperoleh Reuters daripada tiga sumber yang enggan dikenali itu bertentangan dengan kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang mendakwa serangan hujung minggu lalu ‘menghapuskan’ sepenuhnya program nuklear Iran.
Menurut dua daripada sumber, penilaian tersebut menyatakan simpanan uranium yang diperkaya Iran tidak dimusnahkan dan kemajuan program nuklear Iran hanya ditangguhkan selama satu hingga dua bulan.
Sebelum ini, pentadbiran Trump memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serangan tersebut hanya ‘melemahkan’ program nuklear Iran, satu kenyataan berbeza daripada dakwaan awal presiden yang menyatakan ia menghancurkan sepenuhnya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula mendakwa, Israel berjaya menamatkan ancaman pemusnahan nuklear selepas 12 hari berperang dengan Iran, dan akan terus bertegas menentang sebarang usaha Tehran menghidupkan semula program tersebut.
“Kami telah menghapuskan dua ancaman eksistensial utama, iaitu ancaman pemusnahan melalui senjata nuklear dan ancaman daripada 20,000 peluru berpandu balistik,” kata beliau menerusi satu kenyataan video.
Serangan udara Israel yang bermula pada 13 Jun menyasarkan beberapa tapak nuklear Iran serta mengorbankan beberapa komander kanan tentera republik Islam itu dalam apa yang disifatkan sebagai tamparan paling hebat sejak Perang Iran-Iraq pada 1980-an.
Iran yang menegaskan program pemerkayaan uraniumnya adalah untuk tujuan aman, membalas serangan tersebut dengan pelancaran peluru berpandu ke bandar-bandar utama Israel.
Angka rasmi menunjukkan 610 rakyat Iran terbunuh dalam serangan Israel dan 4,746 lagi cedera.
Serangan balas Iran pula mengorbankan 28 nyawa di Israel, kali pertama sistem pertahanan udara negara itu ditembusi peluru berpandu dalam jumlah besar.
Harga minyak dunia jatuh dan pasaran saham global melonjak berikutan perkembangan gencatan senjata yang berjaya meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak dari Teluk.









