Semangat Abdul Hadi kuat walaupun diuji masalah kesihatan

Semangat Abdul Hadi kuat walaupun diuji masalah kesihatan

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Semangat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk memimpin Pas tidak pernah luntur dan tetap kuat meskipun diuji dengan masalah kesihatan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor iaitu walapupun fizikal Ahli Parlimen Marang itu tidak sihat namun ahli Pas masih memerlukan fikirannya untuk terus me­mimpin jemaah.

“Kalau dilihat daripada segi fizikal, penyakit Abdul Hadi sangat berat, dia sakit, semua orang tahu, hendak jalan pun kadang-kala kena usung.

“Tetapi sema­ngat dia (Abdul Hadi) itu yang kita kagum, semangat dia tidak pernah runtuh walaupun dalam keadaan fizikalnya tidak sihat.

“Ini yang sukar untuk kita cari. Ada orang bersin dua tiga kali sudah tidak mampu, uzur sudah. Tapi dia, tidak pernah sebut benda-benda ini,” kata­nya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, prosedur rawatan jantung Abdul Hadi berjalan lancar dan berjaya tanpa sebarang kom­plikasi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilberkata, kejayaan tersebut membuktikan negara mempunyai kepakaran dan fasiliti perubatan yang setan­ding dengan negara-negara maju.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan agar Abdul Hadi dikurniakan kesihatan selepas menjalani prosedur rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, Hashim ber­syukur apabila prosedur rawatan jantung Abdul Hadi itu berjalan lancar dan berjaya.

“Alhamdulilah pada hari pembedahan tersebut, saya ada berhubung dengan setiausaha Abdul Hadi dan dia memaklumkan doktor selepas pembedahan itu juga mengakui kagum.

“Walaupun tidak sempurna lagi, tetapi menunjukkan pembedahan itu berjaya. Alhamdulillah, cuma ketika ini kita masih tidak dibenarkan lagi untuk ziarah,” katanya.

Hashim seterusnya menyeru kepada seluruh ahli Pas dan rakyat Malaysia agar mendoakan kesihatan Abdul Hadi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN