KOTA BHARU: Golongan remaja dan belia di negara ini beranggapan pengambilan dadah sintetik ataupun perangsang (stimulan) jenis amphetamine tidak membahayakan sebaliknya lebih kepada mencari keseronokan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, situasi itu memberi cabaran kepada kerajaan dalam membendung penyalahgunaan kerana golongan berkenaan merupakan aset penting negara pada masa hadapan.
“Membimbangkan kita (kerajaan) golongan yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah ini berusia antara 15 hingga 25 tahun. Mengejutkan lagi, ada dalam kalangan mereka yang berpendidikan (tinggi).
“Jadi ini kelompok yang sangat besar, sudah tiba masanya usaha-usaha menjurus kearah memastikan mereka (remaja dan belia) tidak terlibat perlu dilakukan dengan segera.
“Sebab itulah saya akan ke seluruh negara untuk memastikan kerjasama antara Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melawan penyalahgunaan dadah dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Lawatan Kerja ke Kelantan di sini malam tadi.
Shamsul Anuar memberitahu, semua pihak termasuk masyarakat perlu memainkan peranan bagi memastikan penyalahgunaan dadah menjadi agenda bersama tanpa mengira siapa kerana impak cukup besar pada negara jika terus dibiarkan.
Katanya, cabaran hari ini cukup besar apabila pengedar menggunakan media sosial untuk memasarkan bahan terlarang itu kepada pengguna.
“Selain media arus perdana, kita juga akan menggunakan media sosial dalam menggerakan kempen bahaya penyalagunaan dadah. Usaha itu sesuai dengan cabaran yang sudah berubah.
“AADK mempelbagai cara bagi memastikan penyalahgunaan dadah berjaya kurangkan,” ujarnya.-UTUSAN