Remaja 14 tahun dirogol kekasih, selepas tunggang motosikal lebih 500 km - Utusan Malaysia

Remaja 14 tahun dirogol kekasih, selepas tunggang motosikal lebih 500 km

MOHD. Yusoff Mamat (kanan) bercakap pada sidang akhbar selepas Program Townhall Ketua Polis Kelantan, Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dirogol kekasih yang dikenali melalui laman sosial selepas menunggang motosikal lebih 500 kilometer dari Tumpat ke Kulim, Kedah untuk bertemu dengan lelaki berkenaan buat kali pertama pada Mac lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, perbuatan itu terbongkar selepas mangsa mengaku telah bertemu dengan kekasihnya yang berusia 30-an dan kemudian dirogol semasa pertemuan kali pertama di Kulim.

Menurutnya, pengakuan itu dibuat selepas remaja berkenaan didesak oleh ibu bapanya dan hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak hospital mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

“Siasatan lanjut mendapati, mangsa mengenali suspek beberapa bulan lalu di media sosial sebelum mereka mula berhubung melalui WhatsApp. Mangsa kemudian mengajak seorang rakan sebaya untuk menemaninya ke Kulim bagi bertemu dengan lelaki itu.

“Semasa dalam perjalanan, motosikal mangsa mengalami kerosakan semasa di Gerik, Perak sehingga mereka berdua terpaksa menggunakan kenderaan awam untuk meneruskan perjalanan ke Kulim,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Townhall Ketua Polis Kelantan, Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan turut mendapati mangsa telah dirogol suspek di sebuah kawasan di Kulim. 

Katanya, mangsa kemudian pulang semula ke Tumpat dan suspek telah ditahan di Kulim selepas laporan polis dibuat oleh ibu bapa remaja berkenaan.

Mohd. Yusoff berkata, sebelum kejadian itu terbongkar bapa remaja itu telah membuat laporan polis berkenaan orang hilang selepas mangsa tidak pulang ke rumah selama empat hari.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN