‘Pulanglah, setiap hari ibu menangis fikirkan kakak’

‘Pulanglah, setiap hari ibu menangis fikirkan kakak’

ERMA Fatima Shamsul Bahari hilang sejak 25 Oktober tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebuah keluarga dari Kampung Rhu Dua, Marang, dekat sini tidak putus harapan mencari anak mereka, Erma Fatima Shamsul Bahari, 18, yang hilang sejak sembilan bulan lalu.

Bapa remaja itu, Shamsul Bahari Abu Bakar, 48, berkata, Erma Fatima merupakan orang kurang upaya (OKU) yang meng­alami masalah pembelajaran dan anak sulung dari empat beradik.

Katanya, anak gadisnya itu disedari hilang semasa dia ke tandas ketika mereka sekeluarga makan tengah hari di sebuah kedai di Pantai Batu Buruk, di sini pada 25 Oktober tahun lalu.

“Bagaimanapun, selepas me­nunggu beberapa ketika, Erma Fatima tidak muncul-muncul. Isteri saya, Roslina Mat Yusof, 41, ke tandas mencarinya namun Erma Fatima tiada.

“Saya sendiri buntu kerana dia tidak membawa kad pengenalan dan telefon bimbit,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Shamsul Bahari berkata, sebelum kejadian, anaknya itu berkelakuan pelik apabila se­ring kelihatan membalas mesej menggunakan telefonnya.

“Apabila saya periksa telefon, semua senarai kenalannya dibuang termasuk mesej-mesej.

“Namun saya tidak syak apa-apa apatah lagi memikirkan dia menghilangkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu sehari selepas kehilangannya kerana sebelum ini mereka tinggal di Pulau Kambing, di sini.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang maklumat berhubung kedudukan atau situasi anaknya itu.

“Isteri saya sering mena­ngis mengenangkan anak sulung kami kerana bimbang kejadian tidak diiingini berlaku.

“Saya merayu dan berharap Erma Fatima pulang, ibu setiap hari sedih memikirkan kakak (Erma Fatima),” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Shamsul Bahari di nombor 014-903 5176.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×