TEL AVIV: Iran menghantar lebih 100 dron ke wilayah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan udara yang dilancarkan rejim itu ke atas pelbagai sasaran di Teheran.
Susulan itu, Israel terpaksa mengisytiharkan perintah darurat nasional bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.Semua sekolah ditutup, perhimpunan awam diharamkan dan orang ramai dinasihatkan tidak keluar bekerja kecuali bagi urusan penting.
Kementerian Kesihatan Israel turut mengarahkan hospital menghentikan rawatan pesakit luar dan perkhidmatan bukan kecemasan serta memindahkan operasi ke kawasan perlindungan khas.
Jurucakap tentera Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin memaklumkan, puluhan ribu anggota tentera simpanan dipanggil untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Namun, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa, pesawat pejuang tentera udaranya dapat memintas dan menembak jatuh dron-dron tersebut di luar sempadan sebelum ia memasuki wilayah negara haram itu sekali gus memberi jaminan ‘keadaan terkawal’ setakat ini.
Serangan yang dilancarkan turut mencetuskan panik di beberapa wilayah Palestin, termasuk Baitulmuqaddis apabila penduduk menyerbu pasar raya bagi mendapatkan bekalan makanan dan air, menyebabkan rak-rak kosong dalam tempoh beberapa jam.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga menguatkuasakan perintah berkurung ke atas semua bandar di Tebing Barat, termasuk Ramallah, Hebron dan Nablus sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi ketidaktentuan keselamatan.
Dalam perkembangan berkaitan, ruang udara Israel, Iran dan Jordan ditutup sepenuhnya dan beberapa syarikat penerbangan utama dunia terpaksa menggantung penerbangan melibatkan destinasi di Asia Barat.
Banyak negara termasuk Malaysia, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Britain, Australia dan New Zealand menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan mendadak konflik itu.
Sebahagian negara mengkritik serangan Israel sebagai bersifat provokatif dan memburukkan keadaan, dengan United Kingdom (UK) dan Perancis mengumumkan enggan terlibat melindungi rejim itu daripada serangan balas Iran serta menggesa kedua-dua pihak menyelesaikan ketegangan secara diplomasi.
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran keselamatan kepada semua kakitangan kerajaannya di Israel, mengarahkan mereka serta keluarga untuk segera berlindung di lokasi selamat.
Presiden AS, Donald Trump, dalam temu bual bersama Fox News mengakui beliau sudah mengetahui mengenai rancangan Israel untuk melancarkan serangan terhadap Iran sebelum ia berlaku dan berharap Teheran dapat kembali ke meja rundingan berhubung program nuklearnya.
Fox News turut melaporkan Trump menekankan kesediaan AS untuk mempertahankan Israel sekiranya Iran bertindak balas.
Kerajaan Lubnan turut memberi amaran kumpulan Hezbollah dan Houthi yang disokong Iran mungkin mengambil bahagian dalam tindakan balas Teheran dan menegaskan enggan membiarkan negara itu terheret sama dalam krisis tersebut.
Kerajaan Jordan turut menegaskan negara itu tidak akan membenarkan sebarang pencerobohan terhadap ruang udaranya atau dijadikan medan pertempuran bagi mana-mana konflik.
Semalam Israel mendakwa melancarkan serangan terhadap lebih 100 sasaran di Iran termasuk pusat nuklear serta pangkalan tentera menggunakan sekitar 200 pesawat pejuang membawa lebih 330 peluru berpandu dan bom.
Serangan itu mengorbankan dua pemimpin tertinggi tentera Iran iaitu Ketua Turus Tentera Iran, Mohammad Bagheri dan Ketua Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Salami serta sekurang-kurangnya enam saintis nuklear negara itu.
Susulan itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berikrar Israel bakal berdepan ‘saat penuh keperitan dan penderitaan’ kerana menyerang republik itu.
Hubungan tegang Israel dan Iran sudah lama tercetus dengan beberapa konflik berlaku antara 2019 sehingga 204 dengan kemuncak pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah terbunuh dalam serangan udara berhampiran Beirut di Lubnan.
Sebagai reaksi balas, Iran melancarkan 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel dengan kebanyakannya dapat dipintas. – AGENSI










