ARAU: Ketengah lebih ramai calon dalam kalangan pemuda antara usul yang diketengahkan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau bersempena mesyuarat perwakilan sayap itu di sini hari ini.
Pemangku ketuanya, Ahmad Nazrin Abdul Aziz berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) di beberapa kawasan sebelum ini telah membuktikan calon dalam kalangan pemuda mampu mencapai kemenangan, malah majoriti diperolehi jauh lebih tinggi.
Justeru, beliau berharap pucuk kepemimpinan tertinggi parti dapat melihat perkara itu dan turut memberi fokus kepada calon pemuda yang selari dengan penambahan undi muda ketika ini.
“Ia juga penting dengan penambahan pengundi muda di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Kalau boleh pucuk pimpinan tertinggi parti mengenegahkan lebih ramai calon pemuda ini.
“Sebagai contoh di Perlis, daripada 18 kerusi, sekurangnya 20 peratus perlu calon dalam kalangan pemuda ini,” katanya pada
Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik Arau, di sini, hari ini.
Perasmian mesyuarat itu disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman.
Sementara itu, Ahmad Nazrin berkata, selain itu, Pemuda UMNO Arau juga mengemukakan usul menentang sistem pengundian menggunakan kaedah lama dikembalikan, sebaliknya kekal dengan cara baharu yang lebih adil.
“Kaedah lama pengundian hanya melibatkan perwakilan manakala cara baharu membabitkan seluruh ahli yang dilihat lebih adil dan memberi impak kepada akar umbi dalam memilih pemimpin mana yang mereka rasa berkualiti.
“Usul lain adalah seperti revolusi kebangkitan pemuda iaitu dengan menubuhkan satu badan bukan kerajaan (NGO) yang mengabungkan golongan profesional dan aktivis politik.
“Ia bertujuan bagi mendekati para pelajar dan orang muda di kampung-kampung ini melalui gabungan kepakaran profesional dan parti ini,” katanya.-UTUSAN