KANGAR: Pembinaan kafe di Gua Cenderawasih yang menjadi kontroversi sebelum ini diteruskan dengan beberapa penambahbaikan bagi menjamin kelestarian geotapak itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Geopark Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pengusaha kafe terlibat boleh meneruskan pembinaan di sekitar kawasan gua itu dan cadangan pembangunan baharu hendaklah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk ulasan serta pandangan sebelum kelulusan diberikan.
Beliau berkata, cadangan pembangunan itu juga seharusnya mengambil kira aspek keselamatan dan menjamin pemeliharaan di geotapak tersebut.
“Selain itu, tiada struktur kekal dibenarkan di dalam kawasan atau cerun Gua Cenderawasih,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak tampil mengkritik kerja-kerja pembinaan kafe di kawasan itu yang didakwa boleh memusnahkan biodiversiti terdapat di gua tersebut.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, pembersihan gua itu juga akan dilaksanakan dengan menanggalkan cat di dinding dan struktur tanpa merosakkan fosil sedia ada dengan kerjasama MPK, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Antara cadangan adalah menggunakan air dan berus namun perkara ini akan diteliti melalui pelaksanaan kerja secara berperingkat bersama pihak terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, struktur yang telah dibina juga akan dialihkan bagi memastikan aspek keselamatan pelawat di ambil kira.
Ujarnya, kawasan fosil terlibat juga akan ditanda bagi membolehkan kerja pembersihan dilaksanakan dengan teliti tanpa merosakkan struktur bernilai tinggi yang ada.
“Pemetaan terperinci akan dilaksanakan di kawasan geotapak berkenaan dan promosi kesedaran awam juga perlu ditingkatkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan semua pihak cakna akan kepentingan penjagaan di geotapak,” katanya.-UTUSAN