Pemandu, penumpang bas ekspres, persiaran wajib pakai tali pinggang keledar Selasa ini-JPJ

Pemandu, penumpang bas ekspres, persiaran wajib pakai tali pinggang keledar Selasa ini-JPJ

AEDY Fadly Ramli (kiri) beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan yang hadir ke perhimpunan setia JPJ di Dewan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan peraturan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu, penumpang bas ekspres dan persiaran bermula Selasa ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, individu yang ingkar akan berdepan notis saman sebanyak RM300.

“Sebelum ini kita mengambil pendekatan advokasi, namun bermula 1 Julai ini kita akan melaksanakan secara tegas.

“Jika pemandu gagal memberi peringatan kepada penumpang untuk memakai tali pinggang keledar, mereka (pemadu) akan turut dikenakan tindakan termasuklah syarikat pengendali bas turut dikenakan saman,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan setia JPJ di Dewan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Aedy Fadly memberitahu, penguatkuasaan itu terpakai kepada bas yang dibina selepas Januari 2020.

Katanya, bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar itu.

“Ketika ini JPJ sedang melaksanakan libat urus dengan pemain industri untuk memasang tali pinggang keledar.

“Arahan akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk kerja-kerja tersebut sebagaimana tempoh telah ditetapkan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN