Pemandu jentera edar syabu 365kg berdepan hukuman mati

Pemandu jentera edar syabu 365kg berdepan hukuman mati

TERTUDUH (dua dari kanan) dibawa ke mahkamah bagi berdepan pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis syabu pada bulan lalu di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, semalam. UTUSANASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pemandu jentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengedar dadah
jenis syabu seberat 365 kilogram (kg) di sebuah rumah di Beseri, Padang Besar, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Mudzakkir Zainal, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan
Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Mudzakkir bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat 365kg sekitar pukul 8.45 malam pada 31 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah
Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh tidak di
wakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 22 September depan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kejayaan polis merampas sya bu seberat 365kg bernilai RM13.14 juta menerusi
pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim dilaporkan berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, sebanyak 17 guni berjahit telah ditemukan di dalam kenderaan yang mengandungi syabu seberat 365kg.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×