Palestin lenyap jika terus diserang Israel

Palestin lenyap jika terus diserang Israel

SEORANG kanak-kanak Palestin menziarahi kubur ahli keluarganya ketika sambutan Aidiladha di Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gaza bakal le­nyap dari peta dunia sekiranya rejim Zionis Israel melakukan kekejaman berterusan dalam usa­ha merealisasikan impian me­reka menawan seluruh Pa­lestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Cin­ta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, tindakan Israel kini bersifat penghapusan etnik secara terancang dan sistematik.

Beliau berkata, jika tiada tindakan agresif di peringkat antarabangsa, kebuluran, penyakit dan pengeboman akan terus mele­nyapkan kehidupan rakyat Palestin dari bumi Gaza.

“Penghapusan etnik berterusan, pengusiran dan pemusnahan menyeluruh merupakan antara matlamat utama yang dilihat cuba dicapai oleh pihak Zionis.

“Kita perlukan sokongan strategik dan desakan dari negara-negara yang mampu bertindak di peringkat antarabangsa demi menghentikan kezaliman ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pemimpin dunia tidak lagi mahu berdiam diri melihat Gaza terus dibedil rejim Zionis Israel, sebaliknya mengambil pendirian untuk membantu Pa­lestin mencapai kemerdekaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri setelah mereka menghubunginya dan menyatakan pendirian tersebut.

Anwar berkata, antara pemimpin dunia yang melahirkan hasrat itu ialah Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran, Masoud Pezeshkia dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

Pada hari pertama Aidiladha, sekurang-kurangnya lapan awam terbunuh, 61 cedera akibat tembakan tentera Israel di Rafah. Dan semalam, lebih 70 rakyat Palestin terkorban disebabkan serangan tidak perikemanusiaan rejim Zio­nis itu.

Sejak 27 Mei lalu, jumlah korban akibat serangan Israel mening­kat kepada 110 syahid, 583 cedera dan sembilan masih hilang.

Muhammad Nadir menyeru solidariti rakyat Malaysia diteruskan secara berterusan supaya tekanan efektif dapat diberikan kepada kuasa besar dunia yang bersubahat.

“Sokongan rakyat yang lebih berpusat dan berstrategi penting bagi memastikan jenayah ke atas Gaza dapat dihentikan,” katanya.

Menurut beliau, kekejaman Israel bukan lagi isu kemanusiaan semata-mata, tetapi serangan terbuka terhadap maruah, hak asasi dan kedaulatan rakyat Palestin.

“CGM kekal komited menyampaikan bantuan dengan kerjasama badan antarabangsa, namun halangan sempadan dan kawalan tentera rejim menyukarkan penyampaian,” katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, yang berkahwin dengan warga Gaza berkata, keluarga mentuanya di Gaza tetap mahu bertahan walau menderita kerana mereka yakin bumi Gaza perlu dipertahankan sampai syahid.

“Bila saya tanya, kalau diberi peluang keluar dari Gaza? Mereka jawab: ‘Biar kami syahid di sini. Kalau semua keluar, siapa akan pertahankan tanah ini?” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN