KOTA BHARU: “Abah sepatutnya jadi pemandu bas itu bersama rakannya.”
Demikian cerita Noraini, iaitu anak Mat Seman Che Lah yang sepatutnya menjadi pemandu dan membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pagi ini yang meragut 15 nyawa.
Noraini berkata, bapanya tidak mengambil tugas tersebut kerana mahu menghantarnya bersama anak-anak pulang ke Kuala Lumpur selepas menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung.
“Mengikut Abah, pihak pengurusan (bas) ada meminta dia (Abah) dan rakanyna memandu bas tersebut. Namun, Abah tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana dia hantar saya pulang ke Kuala Lumpur malam tadi dengan kereta.
“Kawan Abah pula tidak boleh kerana ada kenduri. Biasanya Abah dan kawan dia yang bawa bas tersebut,”katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Noraini memberitahu, insiden ngeri itu hanya diketahui oleh dia dan bapanya selepas menerima panggilan dari adiknya yang memaklumkan perkara tersebut semasa sedang menikmati sarapan pagi.
Katanya, bapanya terkejut selepas dimaklumkan bas yang sepatut dipandunya itu terlibat dengan kemalangan.
“Bas yang terlibat dengan kemalangan itu selalu dipandu oleh Abah dan rakannya. Abah merupakan pemandu kedua dan sudah lama bekerja dengan syarikat berkenaan.
“Abah bermula dengan membawa bas sekolah. Mengikut kata Abah, bas ini baru dan digunakan antara tiga hingga empat tahun,” ujarnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sekurang-kurangnya 15 individu dilaporkan maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di sini awal pagi tadi.
Difahamkan kejadian sekitar pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan laporan kemalangan itu melibatkan 48 mangsa.-UTUSAN