KANGAR: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Royal Town Warriors muncul juara bagi kategori lelaki terbuka selepas menewaskan Malaysian Universiti (MU) 22-19 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit pada kejohanan Takaful Ikhlas Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 sebelah atau Perlis Royal 7s 2025 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini semalam.
Kemenangan menerusi jaringan minit akhir itu menyaksikan pasukan MBDK Royal Town Warriors membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala manakala MU selaku naib juara menerima RM3, 000 dan pingat.
Bagi kategori wanita terbuka pula, juara menjadi milik kelab Bunga Raya Seven Ladies yang menumbangkan Perlis Border Ladies dengan keputusan 17-0. Manakala dalam kategori lelaki bawah 20 tahun pula, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Tsunami U20 berjaya menundukkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) Falcon 24-12.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan ulang tahun keputeraan baginda ke-82 itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Mohd Ridzuan Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin dan Presiden Persatuan Ragbi Perlis, Syed Hazrain Syed Razlan Jamalullail.
Kejohanan yang berlangsung dari 31 Mei hingga 1 Jun itu dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri serta penaja utama iaitu Takaful Ikhlas.
Setiausaha kehormat Persatuan Ragbi Perlis, Erri Hardinata Ahmad Khodzali berkata, pihaknya melihat penganjuran Perlis Royal 7s ini mampu menarik pelancong untuk datang ke Perlis sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 serta sambutan Jubli Perak.
Katanya, Perlis Royal 7s juga dilihat sebagai acara ragbi terpenting dalam kalendar sukan negara yang mampu menarik pelbagai kelab ragbi dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Pengurus MBDK Royal Town Warriors, Shahizam Tukiran berkata, kemenangan pasukannya sekali gus berjaya menebus kekalahan kepada MU di peringkat kumpulan dalam perlawanan pada Sabtu.
“Kita cuba menebus balik kekalahan itu dan pemain kita bermain habis-habisan sehingga minit terakhir perlawanan meskipun sepanjang perlawanan terpaksa mengejar MU.
“Saya memuji semangat para pemain yang tidak mudah berputus asa dan terus memberikan tentangan kepada lawan meskipun ada ketikanya kita sudah hampir tewas.
“Malah, keserasian antara pemain tempatan serta pemain import kita dari Australia akhirnya dapat diterjemahkan dengan kemenangan walaupun kita baharu sahaja menjalani latihan untuk ke kejohanan ini sekitar empat minggu lalu,” katanya.-UTUSAN