KUALA LUMPUR: Identiti mayat lelaki yang ditemukan di ruang lif sebuah bangunan dalam pembinaan di Bangsar, di sini semalam disahkan sebagai Jordan Johnson-Doyle, 25, warga Britain yang dilaporkan hilang sejak 27 Mei lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pengesahan dilakukan ahli keluarga iaitu bapa saudara mangsa berdasarkan tatu pada tubuh badannya.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan pada bahagian dada akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Tiada sebarang unsur jenayah ditemukan di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Disahkan mayat tersebut adalah orang hilang yang telah dilaporkan kehilangannya pada 2 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit.
Beliau turut mengesahkan bahawa Jordan merupakan individu yang dilaporkan hilang pada 2 Jun lalu selepas kali terakhir dilihat di sebuah premis hiburan di Bangsar.
Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini dan menyeru mereka yang mempunyai maklumat agar menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Hotline Polis Putrajaya di 03-88862222 atau balai polis berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pasukan penyiasat masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian untuk mengesan barangan peribadi milik mangsa dan menyemak rakaman CCTV di sekitar kawasan.
Jordan difahamkan tiba di Malaysia pada 17 Mei lalu dan menetap sementara di Bukit Bintang sebagai sebahagian daripada siri pengembaraannya ke beberapa negara Asia Tenggara.
Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di bahagian ruang lif sebuah bangunan dalam pembinaan di Bangsar, kira-kira pukul 5 petang.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Britain dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mengembara secara berseorangan di ibu negara sejak 27 Mei lalu dan kali terakhir dilihat di sebuah premis hiburan di kawasan Bangsar.
Jordan dipercayai tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas menjelajah beberapa negara di Asia Tenggara dan menetap sementara di sebuah residensi di sekitar Bukit Bintang. – UTUSAN