Malaysia tawar bantuan, latihan kepada Guinea-Bissau

Malaysia tawar bantuan, latihan kepada Guinea-Bissau

ANWAR Ibrahim dan Umaro Sissoco Embalo bersalaman selepas sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, sempena lawatan rasmi beliau ke negara ini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia sedia menawarkan bantuan kepakaran dan latihan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta program berskala besar dalam usa­ha memperkukuh kerjasama strategik dengan Guinea-Bissau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan diselaraskan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Beliau berkata, pelbagai isu penting telah dibincangkan dalam pertemuan bersama Presiden Guinea-Bissau, Jene­ral Umaro Sissoco Embaló meliputi kerjasama pelbagai bidang seperti industri halal, perbankan Islam dan pelaksanaan di institusi pengajian tinggi serta sektor industri.

“Kerjasama ini termasuk bidang-bidang strategik seperti semikonduktor, minyak dan gas, serta teknologi makanan.

“Kita bersedia menawarkan kepakaran serta bantuan teknikal bagi memperkukuh kapasiti Guinea-Bissau dalam bidang-bidang ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama di sini, semalam.

Anwar berkata, lawatan rasmi sulung Embalo ke Malaysia membawa makna besar dalam membina semula hubungan dua hala yang sebelum ini agak terhad, sekali gus membuka ruang baharu untuk kerjasama serantau dan rentas benua.

“Beliau mempunyai visi yang jelas untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN, manakala kita pula melihat Guinea-Bissau sebagai rakan strategik untuk me­ngukuhkan kehadiran kita di Afrika Barat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut mengalu-alukan penglibatan syarikat-syarikat utama seperti Petronas dan FGV bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama bukan sahaja di Guinea-Bissau, tetapi juga sebagai platform untuk memperluas pengaruh di Afrika.

Anwar berkata, kerjasama dalam bidang halal dan kewangan Islam turut diberi keutamaan, sejajar dengan hasrat kedua-dua negara untuk membangunkan ekonomi berteraskan nilai dan prinsip Islam.

Sementara itu, Embalo memberitahu, Guinea-Bissau mahu menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik utama di Afrika, dan percaya Malaysia mampu memainkan peranan lebih besar bukan sahaja di rantau Asia, malah di peringkat global.

“Malaysia boleh menjadi kunci hubungan kami dengan dunia. Apabila kita mula berhubung dengan saudara-saudara kita, itulah saat kita benar-benar saling memahami dan bekerjasama,” katanya.

Katanya, beliau sendiri akan terus berhubung de­ngan Perdana Menteri dan telah mengarahkan Setiausaha Negara Guinea-Bissau untuk be­kerjasama rapat dengan rakan sejawatan di Malaysia.

“Kami akan pantau rapat pelaksanaan ini kerana kami merasakan hubungan ini sa­ngat penting dan dekat di hati kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN