Mahkamah Rayuan Wilayah 9 Thailand belum terima permohonan pindah kes penyanyi Bea Sobar Bea - Utusan Malaysia

Mahkamah Rayuan Wilayah 9 Thailand belum terima permohonan pindah kes penyanyi Bea Sobar Bea

EDA EZRIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Mahkamah Rayuan Wilayah 9 Thailand mengesahkan pendakwa raya wilayah masih belum mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes perbicaraan penyanyi Bea Sobar Bea Eda Ezrin, suami dan empat rakan ke mahkamah berkenaan.

Memetik laporan portal berita tempatan apakhabartv.com, jurucakap Pejabat Mahkamah Rayuan Wilayah 9 di Narathiwat mengesahkan pihaknya belum menerima apa-apa permohonan daripada pendakwa raya wilayah berkaitan kes itu.

“Tidak ada… pendakwa raya belum kemuka rayuan kes berkenaan,” katanya sambil menyemak rekod di dalam komputer.

“Sebarang permohonan rayuan perlu dikemukakan melalui pejabat Mahkamah Wilayah Narathiwat terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pihak kami,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat memberitahu, pihaknya juga tidak menerima apa-apa permohonan berkaitan kes enam rakyat Malaysia itu, daripada pihak pendakwa raya.

“Mengikut prosedur…semua rayuan kes perlu dikemukakan ke pejabat mahkamah wilayah terlebih dahulu sebelum pihak kami menghantarnya kepada Mahkamah Rayuan.

“Mengikut rekod dalam sistem komputer kami, tiada apa-apa permohonan lagi daripada pihak pendakwa raya berkenaan kes enam rakyat Malaysia itu,” ujarnya.

Mahkamah Rayuan Wilayah 9 bertanggungjawab ke atas kes rayuan di Wilayah Chumphon, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Pattani, Phang Nga, Phatthalung, Phuket, Ranong, Satun, Songkhla, Surat Thani, Trang, dan Yala dalam kes-kes sivil serta jenayah

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin, suaminya dan empat rakan yang dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda oleh Mahkamah Narathiwat di sini, perlu kembali semula ke penjara.

Kesemua mereka perlu kembali ke Penjara Wilayah Narathiwat bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan hingga empat bulan.

Sekiranya, tiada rayuan Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, akan dibenarkan pulang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN