Los Angeles jadi medan 'perang', protes makin buruk

Los Angeles jadi medan ‘perang’, protes makin buruk

PENUNJUK perasaan memegang bendera Mexico sambil berdiri di atas kereta semasa protes terhadap serbuan imigresen di Los Angeles, California, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Protes anti serbuan imigresen terus memuncak di Los Angeles (LA), ketika penunjuk perasaan semakin agresif bertempur dengan pasukan keselamatan untuk hari ketiga, kelmarin.

Ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya, termasuk berhampiran tapak protes awal di Pusat Tahanan Metropolitan selepas perhimpunan itu diisytiharkan ‘melanggar undang-undang’ oleh Jabatan Polis Los Angeles (LAPD).

Sekurang-kurangnya 10 individu ditahan setakat Ahad, dengan pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Rakaman dari udara menunjukkan ‘lautan manusia’ menyekat laluan arah selatan di Lebuh Raya 101, menyebabkan gangguan trafik di kawasan persimpangan Lebuh Raya 101 dan 110, pada hari ketiga protes yang menentang serbuan Perkhidmatan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) di seluruh negeri.

Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghantar tentera pengawal negara ke Los Angeles tanpa persetujuan pihak berkuasa negeri dan tempatan, mencetuskan gelombang kejutan dalam arena politik AS.

AGENDA KEJAM DAN TERANCANG

Gabenor California, Gavin Newsom, bersama beberapa pemimpin Demokrat lain di seluruh negara, mengecam keras langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘penyalahgunaan kuasa yang membimbangkan’.

Newsom menggesa pentadbiran Trump supaya menarik balik penempatan pasukan yang disifatkan beliau ‘melanggar undang-undang’.

“Ini adalah pelanggaran serius terhadap kedaulatan negara, ia hanya memburukkan ketegangan. Batalkan perintah ini, pulangkan kawalan kepada California,” katanya.

Trump mengarahkan penempatan pasukan pengawal negara pada Sabtu, selepas beberapa hari pertembungan antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa imigresen AS.

Keputusan itu menandakan peningkatan mendadak dalam tindakan keras berskala besar terhadap pendatang di AS, susulan serbuan di seluruh negara yang mencetuskan gelombang bantahan.

Tindakan Trump melaksanakan kerahan tentera pengawal merupakan kali pertama seorang Presiden AS menggunakan kuasa demikian sejak rusuhan LA pada 1992.

Sementara itu, bekas Naib Presiden AS, Kamala Harris menyifatkan kerahan pasukan Pengawal Kebangsaan ke negeri asalnya, California, sebagai tindakan berbahaya yang memburukkan keadaan.

Beliau turut menganggap tindakan itu sebahagian daripada agenda ‘kejam’ dan terancang pentadbiran Trump untuk menyebarkan panik serta perpecahan.

“Saya terus menyokong jutaan rakyat Amerika yang bangkit mempertahankan hak dan kebebasan kita. Protes adalah alat yang berkuasa, penting dalam memperjuangkan keadilan,” katanya dalam hantaran di X.

UNDANG-UNDANG JARANG GUNA

Trump pada Ahad mempertahankan tindakan menghantar tentera ke Los Angeles, konon sebagai langkah penting untuk memastikan undang-undang dan ketenteraman, selain tidak menolak kemungkinan tindakan sama diambil di bandar-bandar lain.

“Anda mempunyai orang yang ganas dan kami tidak akan membiarkan mereka melarikan diri,” katanya kepada pemberita di landasan lapangan terbang Morristown sebelum menaiki pesawat menuju ke Camp David.

Rumah Putih menyatakan Trump merujuk undang-undang yang jarang diguna, dikenali Tajuk 10, yang membenarkan persekutuan Pengawal Kebangsaan semasa berlaku pemberontakan atau ancaman terhadap kuasa Kerajaan AS.

Akta Pemberontakan AS juga membenarkan presiden untuk mengerahkan tentera di dalam negara dan menggunakannya untuk penguatkuasaan undang-undang.

500 marin AS ‘bersedia untuk dikerahkan’ ke Los Angeles jika diarahkan oleh pentadbiran Trump.

Komando Utara AS berkata, anggota marin dari Twentynine Palms, California, bersedia untuk digerakkan jika ada keperluan bagi menyokong usaha Jabatan Pertahanan (DoD) dalam melindungi harta benda serta kakitangan persekutuan.

Terdahulu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mencadangkan penghantaran Marin AS ke jalanan California, susulan protes meluas terhadap serbuan imigresen di negeri itu.

Bagaimanapun, Newsom mengutuk cadangan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘gila’.

Setakat ini, kira-kira 300 anggota Pengawal Kebangsaan California dikerahkan di Los Angeles dan pentadbiran Trump turut menempatkan 2,000 tentera di bawah arahan persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN