KUALA KRAI: Seorang lelaki yang memiliki enam biji pil kuda cedera pada bahagian muka dan tangan kiri apabila terlibat kemalangan semasa melarikan diri daripada ditangkap polis dalam kejadian berhampiran Masjid Mukim Lela Jasa di sini semalam.
Kejadian pukul 6 petang itu berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai menahan suspek untuk pemeriksaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Mohd. Maizan Mustaffa berkata, suspek yang ketika itu menunggang motosikal terus memecut untuk melarikan diri.
Menurutnya, motosikal suspek kemudian telah bergesel di bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan pasukan.
“Pelanggaran itu menyebabkan suspek telah terjatuh bersama motorsikal dan mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tangan kiri.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek telah menjumpai tujuh biji pil disyaki dadah jenis Pil Yaba,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Maizan memberitahu, suspek telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk rawatan dan pemeriksaan mendapati suspek tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Katanya, disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu tular di laman sosial yang mempersoalkan tindakan anggota narkotik IPD Kuala Krai yang didakwa telah melanggar penduduk kampung semasa menjalankan operasi.-UTUSAN