GENTING HIGHLANDS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan cabaran besar apabila siasatan yang masih berjalan sering kali dihakimi lebih awal di media sosial.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, tidak dapat dinafikan bahawa cabaran paling besar kepada SPRM dan semua agensi penguatkuasaan masa kini ialah pengaruh media sosial.
Menurutnya, media sosial membolehkan sebarang dakwaan, tuduhan dan persepsi disebarkan dengan pantas tanpa semakan dan menunggu proses siasatan disempurnakan.
“Dalam banyak keadaan, kes masih dalam siasatan, bukti sedang dikumpulkan namun SPRM telah pun dihakimi di mahkamah media sosial.
“Lebih membimbangkan, ruangan komen sering dimanipulasi oleh kumpulan tertentu yang diwujudkan secara terancang untuk menyemai kebencian dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap SPRM.
“Dalam dilema ini, apabila SPRM tidak bertindak segera, kami dituduh cuba melindungi pihak tertentu. Namun apabila SPRM mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang, kami pula dilabel sebagai bertindak secara terpilih atau menjadi alat politik,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawanan di sini, hari ini.
Menurutnya, setiap tindakan SPRM adalah berasaskan bukti, peruntukan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan, bukan berdasarkan tekanan media sosial, sentimen awam atau kepentingan mana-mana pihak.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaporan yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja memberi kesan negatif kepada imej dan reputasi SPRM, malah boleh menjejaskan siasatan, mengganggu proses keadilan serta memberi implikasi kepada keselamatan pegawai serta saksi.
“SPRM menghormati peranan media sebagai Public Watchdog namun, kita mesti membezakan antara kewartawanan penyiasatan yang bertanggungjawab dengan pelaporan sensasi yang dibungkus sebagai ‘penyiasatan’.
“Kewartawanan penyiasatan yang bertanggungjawab, memperkukuh demokrasi dan integriti tetapi pelaporan sensasi, merosakkan kepercayaan dan mengganggu proses keadilan,” katanya.
Katanya, SPRM tidak akan bertindak berdasarkan tekanan media sosial, perbicaraan awam atau naratif yang dibina tanpa asas kukuh, sebaliknya komited menjalankan amanah secara profesional, bebas dan berintegriti berteraskan prinsip undang-undang.
Seramai 20 wartawan daripada pelbagai organisasi media menyertai Bengkel Kewartawanan anjuran SPRM itu bagi meningkatkan pemahaman mengenai peranan agensi antirasuah itu dalam memerangi dan mencegah rasuah.
Bengkel tiga hari itu memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai struktur, fungsi serta mekanisme semak dan imbang yang wujud dalam SPRM, termasuk proses siasatan, pengendalian kertas siasatan dan program pencegahan yang dijalankan.
Peserta turut diberi taklimat mengenai peranan panel bebas seperti Panel Penilaian Operasi (PPO) yang meneliti kertas siasatan diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) sekali gus membantu wartawan memahami konteks sesuatu keputusan siasatan sebelum dilaporkan kepada umum. – UTUSAN










