SHAH ALAM: Sebanyak 65,000 unit pelbagai barangan tiruan bernilai lebih RM3.5 juta dilupuskan oleh pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, hari ini.
Pelupusan perdana itu disifatkan yang terbesar di negeri ini dalam tempoh lima tahun apabila melibatkan pelbagai jenis barangan tiruan termasuk aksesori pakaian, kesihatan, perkakasan elektronik dan minuman keras.
Pengarahnya, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, rampasan tersebut hasil daripada penyelesaian 64 kes sejak tahun lalu meliputi 41,000 barangan penjagaan diri, 4,000 aksesori pakaian, 4,370 jam tangan serta baju, kasut dan sandal sebanyak 11,900 unit.
Menurutnya, KPDN Selangor turut melupuskan peralatan yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan barangan kawalan bersubsidi seperti mesin pam, flow meter, paip penyambung dan intermediate bulk container (IBC) yang dianggarkan tidak lebih RM250,000.
“Lain-lain barangan antaranya alat ganti kenderaan seperti cover set motosikal, cermin sisi dan hadapan, minyak pelincir serta peralatan komunikasi berjumlah 300 unit.
“Proses pelupusan dilakukan secara sistematik dan terancang serta tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Ekshibit (Barang Kes) yang sedang berkuat kuasa. Kesemuanya dilupuskan berstatus selesai prosiding mahkamah dan mendapat perintah atau kebenaran pelupusan dari mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat proses pelupusan perdana KPDN Selangor, hari ini.
Tambah Mohd. Zuhairi, kesemua barangan yang dilupuskan itu sebelum ini dirampas di gudang dan premis perniagaan dan ia dikenal pasti dikilangkan secara haram dan sebahagiannya dibawa masuk dari luar negara.
“Objektif pelupusan adalah untuk memastikan barang kes tidak kembali berada di pasaran ataupun urus niaga demi menjaga kepentingan pengguna dan memastikan aktiviti perdagangan dalam negeri mematuhi peraturan.
“Ada peniaga sendiri yang cuba mengambil kesempatan untuk menjual barangan tersebut. Tiada permintaan terhadap barangan tiruan daripada pengguna, sebab itu kita ambil tindakan untuk melindungi pengguna itu sendiri,” jelasnya.
Justeru, beliau memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menjual barangan tiruan supaya berhenti daripada melakukan kesalahan tersebut atau berdepan dengan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara. – UTUSAN










