PASIR MAS: Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan pemakaian cip di badan lembu selain tanda di telinga sejak tiga tahun lalu bagi mengekang haiwan ternakan tersebut berkeliaran, penularan penyakit dan penyeludupan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri, Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, ia bertujuan memudahkan pengurusan maklumat ke atas lebih 100,000 ekor lembu yang diternak di negeri ini.
“Setiap lembu yang berdaftar dipakaikan dengan cip berharga RM30. Kebanyakan lembu premium dari jenis baka Charolais dipakaikan dengan cip ini.
“Melalui kaedah ini semua maklumat berkaitan lembu seperti umur, baka dan sejarah vaksin dapat diketahui dengan mudah. Bagi tag teliga pula, setiap ekor lembu dikenakan bayaran RM5,” katanya selepas mengadakan lawatan di ladang lembu baka Charolais Rong Chenok di sini, semalam.
Tuan Mohd. Saripudin berkata, kerajaan Kelantan akan mewajibkan semua penternak haiwan ruminan seperti lembu, kambing serta biri-biri mendaftar dengan E-Ternak.
Katanya, langkah itu selari dengan pelaksanaan Enakman Ternakan Ruminan Kelantan 2024 yang dikuatkuasakan dalam masa terdekat.
“Kita sudah warta enakmen itu, cuma kaedah pelaksanaannya dalam proses peringkat akhir ,” ujarnya.
Sebelum ini, Kerajaan Terengganu dilapor akan menggubal enakmen baharu bagi mewajibkan pemilik ternakan mendaftar dan memasang kod QR pada haiwan sebagai langkah mengatasi isu ternakan berkeliaran yang berlarutan sejak sekian lama.-UTUSAN.










