‘Kami lebih takut kenderaan laju berbanding gajah liar’

‘Kami lebih takut kenderaan laju berbanding gajah liar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Bagaikan di litar lumba. Itu gambaran tentang kende­raan yang rata-ratanya dipandu laju di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) ketika tinjauan wartawan Utusan Malaysia di laluan tersebut baru-baru ini.

Tinjauan yang dibuat sebelum sambutan Hari Raya Aidil­adha itu pada asalnya untuk merakamkan detik-detik kemun­culan gajah liar. Namun perhatian lebih tertumpu kepada kenderaan yang dipandu laju sama ada kereta, bas dan lori di laluan itu.

Jalan Gerik-Jeli yang sememangnya terkenal sebagai laluan berbukit, berselekoh tajam dan banyak bahagian jalan yang bertampal seakan-akan tidak meng­halang pemandu meme­cut laju.

Walaupun JRTB merupakan ‘laluan berisiko tinggi’, pemandu mungkin lebih mengejar masa untuk sampai ke destinasi berbanding keselamatan diri dan pengguna lain.

Ini diakui oleh penduduk Orang Asli yang tinggal berdekatan laluan tersebut yang me­ngatakan mereka lebih takutkan kenderaan laju berbanding gajah liar.

Kata mereka, jika orang luar takutkan kemunculan gajah liar ketika memandu di JRTB, masyarakat Orang Asli di perkampungan yang terletak di laluan itu pula lebih risaukan kenderaan yang dipandu laju.

Tok Batin Kampung Sungai Raba RPS Banun, Muhammad Askee Ali berkata, kenderaan seperti bas dipandu sangat laju terutama pada waktu malam.

“Penduduk kampung amat menyedari tentang lajunya bas. Kalau tanya, mereka (penduduk) cakap benda sama. Kenderaan laju boleh meragut nyawa sedangkan ancaman gajah boleh dikawal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kampungnya terletak lapan kilometer dari lokasi kemala­ngan bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam tragedi pada awal pagi Isnin lalu.

Kata Muhammad Askee, kemalangan itu sewajarnya membuka mata pihak berkenaan tentang situasi sebenar berlaku di JRTB dari segi sikap manusia serta keadaan jalan raya yang semakin uzur.

“Kami sedih dengan kemalangan melibatkan pelajar UPSI. Ramai daripada kami cuba membantu, termasuk yang tinggal jauh. Jarang berlaku kemalangan sebesar ini,” katanya.

Dia berharap keadaan JRTB diberikan perhatian demi ke­selamatan pengguna termasuk masyarakat Orang Asli yang menggunakan laluan tersebut.

“Harap suara kami didengari. Kenderaan kami juga kerap rosak akibat jalan raya ini,” kata­nya yang tinggal bersama kira-kira 800 penduduk masyarakat Orang Asli suku Jahai.

Kampung tersebut terletak di puncak Titiwangsa iaitu kawasan hutan Belum-Temenggor dan merupakan habitat semulajadi gajah dan Harimau Malaya.

Perkara sama dibangkitkan oleh penduduk Gerik dikenali sebagai Daud, 64, yang melihat JRTB seolah-olah menjadi trek perlumbaan bagi kenderaan.

Menurutnya, lebih membimbangkan kenderaan berat seperti bas dan lori rata-ratanya memandu laju di laluan itu.

“Mereka membawa laju sungguh. Ghairah mengambil selekoh dan memotong ken­deraan lain. Bukan sahaja kereta, bas dan lori pun sama. Semasa menuruni bukit pun laju,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ros­lan, 57, berkata, bercakap tentang kenderaan dipandu laju di JRTB bukan perkara pelik buat penduduk Gerik.

“Mereka umpama berlumba. Pada waktu malam pun laju. Mungkin kerana tiada polis atau kamera, mereka mengambil kesempatan memandu laju,” katanya.

Katanya, video tular bas membawa penuntut UPSI memotong dan berkeadaan laju semasa mengambil selekoh tajam, bukan sesuatu yang pelik di JRTB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN